Presiden FAM, Pemuda PAS bincang majukan bola sepak

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

KUALA LUMPUR: Dalam usaha mengembalikan kegemilangan bola sepak negara, Pemuda PAS Malaysia melalui Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (Dacs) telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. semalam.


Pertemuan yang diadakan di ibu negara itu antara lain membincangkan serta berkongsi idea ke arah kemajuan sukan tersebut.

Dalam pertemuan kira-kira sejam itu, Tengku Abdullah mengharapkan PAS dapat merentasi sempadan politik demi kemajuan bola sepak negara.

"Kalau boleh buat football program daripada peringkat belia, adakan league even your own internal between the PAS.

"Kalau boleh kita kurangkan barrier itu, masukkan sapa-sapa yang nak main tapi anjuran tak kiralah sama ada PAS, syarikat mahupun persatuan," titah baginda sambil bersetuju unsur-unsur dakwah boleh diaplikasikan melalui platform sukan.

Antara lain, Pemuda PAS titahnya boleh menganjurkan latihan asas di peringkat bawahan di samping mewujudkan satu bentuk model sukan tersebut.

"Buat dulu, jangan kira nak buat besar-besar, start somewhere," titah Tengku Abdullah lagi.

Tengku Mahkota Pahang itu turut berharap agar Pemuda PAS dapat meneruskan penganjuran program-program ke arah kecemerlangan sukan itu.

Baginda menyambut baik alternatif yang diusahakan Pemuda PAS termasuklah menubuhkan Sport Sunnah Club (SSC) untuk memperkenalkan sukan-sukan sunnah kepada masyarakat.

Sementara itu, Pengarah Dacs Malaysia, Salman Saleh berkata, pihaknya bersedia membantu dari sudut penganjuran program serta idea melalui platform yang ada.

Pemuda PAS, katanya mengambil perhatian serius terhadap prestasi dan perkembangan sukan tanah air terutama bola sepak.

"Saya yakin di bawah pentadbiran Tuanku, bola sepak Malaysia akan berjaya diperkuatkan lagi prestasinya.

"Inisiatif-inisiatif FAM seperti menganjurkan Pertandingan Bola Sepak Rakyat di peringkat bawahan akan berjaya mencungkil bakat-bakat baru," katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas pertemuan itu.

Pemuda PAS turut merafak sembah tahniah kepada Tuanku yang dipilih menjadi Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Dunia (Fifa) baru-baru ini.

Turut bersama dalam pertemuan itu adalah Exco Pemuda PAS Malaysia, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss dan ahli Jawatankuasa Dacs Malaysia, Muriza Mulhi serta Safarizal Saleh. - HARAKAHDAILY 16/5/2015

Share on Myspace