Jenazah Allahyarham Datin Habibah selamat dikebumi

BERNAMA | .

MUAR: Jenazah Allahyarham Datin Habibah Mahmud, isteri kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Datuk Dr Hasrul Sani Mujtabar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Masjid, Parit Yusof Darat di sini, hari ini.
    
Jenazah dikebumikan bersebelahan kubur bapanya Allahyarham Mahmud Abdul Aziz pada 8.45 pagi yang dihadiri lebih 100 anggota keluarga, rakan dan penduduk kampung.
    
Mengiringi jenazah, ibunya Habsah Omar, 77 dan tiga anak Allahyarham Haziani Farhana, 26, Haziani Sofia, 24, dan Haziq Fazli, 19.
    
Turut hadir di tanah perkuburan itu, Anggota Parlimen Muar Datuk Razali Ibrahim, Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Balang, Zaiton Ismail, Ketua Polis Daerah Muar ACP Azman Ayob dan Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Din Ahmad.
    
Suami Allahyarham, Dr Hasrul Sani bagaimanapun tidak dapat hadir kerana menerima rawatan di Hospital Putrajaya sebaik tiba di tanah air malam tadi.
        
Sebelum itu, jenazah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.25 malam tadi sebelum tiba di rumah ibunya di Semerah, Batu Pahat pada 1 pagi ini.
    
Habibah adalah antara enam mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter yang membawa delegasi kedutaan asing di Pakistan yang terhempas di Lembah Naltar dalam Wilayah Gilgit-Baltistan, 8 Mei lepas.
    
Turut terbuuh dalam nahas helikopter itu ialah duta besar Norway dan Filipina, isteri duta besar Indonesia dan dua juruterbang pesawat itu.
    
Bagaimanapun Dr Hasrul Sani mengalami cedera ringan dalam insiden itu dan menerima rawatan awal di Hospital Gilgit, Pakistan.
    
Pesawat malang itu membawa sekumpulan delegasi kedutaan asing dan isteri mereka untuk menghadiri sebuah program rasmi dihoskan oleh Kerajaan Pakistan.
       
Media melaporkan puak Taliban mengaku bertanggungjawab terhadap nahas itu tetapi tentera Pakistan menafikannya.
    
Sementara itu adik ipar Allahyarham, Dr Ahmad Pauzi Abu ketika ditemui selepas pengembumian itu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang melancarkan proses kebumi dan membawa pulang jenazah.
    
Menurut beliau, Allahyarham sebelum ini ada menyatakan kerinduan kepada arwah bapanya dan atas alasan itu keluarga memilih tanah perkuburan itu untuk disemadikan jenazah.
    
"Alhamdulillah semuanya telah berakhir dan kami ahli keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menguruskan jenazah sehingga selesai dikebumikan," katanya.
    
Allahyarham Habibah merupakan anak kedua daripada sembilan beradik. - Bernama

Share on Myspace