Malaysia patut jadi contoh bantu pelarian Rohingya

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Malaysia selaku pengerusi Asean perlu segera menyediakan bantuan kemanusiaan asas seperti makanan, tempat tinggal dan keperluan perubatan kepada pelarian Rohingya dan Bangladesh yang kini terabai di laut tanpa keperluan asas yang mencukupi.

"Kerajaan di bawah pemerintahan Datuk Seri Najib Razak perlu menjadi negara contoh kepada negara lain," ujar Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Ammar Atan.

Beliau berkata, sepatutnya kerajaan lebih bersiap sedia menghadapi krisis serantau seperti ini dan beberapa laporan media menganggarkan hampir 8,000 orang pelarian kini berada di tengah laut dan menanti dibenarkan masuk ke Indonesia, Thailand atau Malaysia.

"Isu ini bukan sahaja isu kemanusiaan tetapi juga isu kepimpinan moral yang seharusnya Malaysia ke depan," katanya lagi.

Tambahnya, siasatan penuh terhadap isu pemerdagangan manusia di sempadan Thailand-Malaysia perlu dilakukan dan mereka yang bersalah perlu dibawa ke muka pengadilan.

Kata beliau, kerajaan perlu bertindak segera untuk menyelamatkan etnik Rohingya daripada terus terseksa kelaparan dan lemas disebabkan keadaan yang sempit di dalam bot.

PMUM juga, ujarnya menyeru agar pemimpin Malaysia menyahut seruan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan komuniti antarabangsa untuk menyalurkan bantuan segera. - HARAKAHDAILY 16/5/2015

Share on Myspace