Persempadanan: SPR akan teliti keputusan mahkamah

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meneliti secara terperinci keputusan Mahkamah Tinggi Kuching berhubung arahan agar mengadakan semula persempadanan kawasan pilihan raya di Sarawak, kata Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh.

Beliau berkata buat masa ini pihak SPR belum menerima pemakluman rasmi mengenai perkara itu dan hanya mengetahui tentangnya melalui media massa.

"Kami akan tengok butiran keputusan mahkamah pada Isnin sebabnya kami hanya mendengar melalui media sahaja.

"Apa-apa hal kami akan buat kenyataan pada Isnin selepas kami dapat maklumat," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Kuching Yew Jen Kie mengarahkan SPR agar mengeluarkan semula notis tentang persempadanan kawasan pilihan raya di Sarawak dengan mematuhi peruntukan dalam Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana hakim mendapati terdapat kekurangan maklumat penting dalam notis bertarikh 5 Jan bagi orang ramai yang terlibat untuk membuat keputusan.

SPR mula mempamerkan syor jumlah Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Sarawak yang ditambah itu pada 5 Jan lepas hingga 4 Feb di beberapa tempat di negeri itu.

Berikutan keputusan mahkamah itu bermakna SPR harus mengadakan semula persempadanan kawasan pilihan raya di Sarawak. - Bernama

Share on Myspace