8 maut nahas helikopter Amerika Syarikat di Nepal

YUBA NATH LAMSAL | .

KATHMANDU: Kesemua enam pegawai Marin Amerika Syarikat (AS) dan dua anggota Tentera Nepal maut apabila sebuah helikopter Tentera Udara AS yang dinaiki mereka terhempas dekat sini.

Serpihan bangkai helikopter UH-1Y Huey itu dijumpai berselerak pada ketinggian 11,200 kaki di timur laut kawasan bukit Kalinchok, kira-kira 50 kilometer (km) ke timur Kathmandu dan kesemua ditemukan terbunuh, kata Mejar Jeneral Binoj Basnyat dari Tentera Nepal.

Bangkai helikopter Tentera AS itu dijumpai di kawasan nahas hampir 68 jam selepas pesawat itu dilaporkan hilang.

Selepas menerima maklumat daripada penduduk tempatan, Tentera Nepal menugaskan sebuah helikopter Lancer dan Ecureuil ke kawasan nahas.

"Sejurus selepas lokasi nahas dikesan, pasukan lima anggota Tentera Nepal tiba di kawasan itu tetapi cuaca buruk dan angin kencang menghalang mereka daripada mengeluarkan mayat-mayat mangsa yang rentung," kata Basnyat.

Helikopter Tentera AS itu dilaporkan hilang pada Selasa dari Dolkha semasa menjalankan misi kemanusiaan menyelamatkan mangsa gempa bumi di negara itu.

Punca sebenar nahas belum dikenal pasti tetapi laporan awal membayangkan ia mungkin akibat kesilapan manusia.

Bagaimanapun, Basnyat enggan mengulas namun berkata "ia hanya akan dikenal pasti selepas siasatan".

Gempa bumi yang menggegarkan Nepal pada 25 April dan 12 Mei lepas telah mengorbankan sekurang-kurangnya 8,500 orang dan mencederakan lebih 15,000 orang selain merosakkan harta benda bernilai berbilion dolar.

AS telah menghantar satu pasukan tenteranya untuk membantu Nepal dalam operasi menyelamat. - Bernama

Share on Myspace