Hanya Erdogan berani kutuk hukuman mati ke atas Morsi

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

Keputusan Mahkamah Mesir menjatuhkan hukuman mati ke atas Dr Mohammad Morsi adalah kemuncak kezaliman Fatah Al-Sisi dan rejim pemerintah tentera Mesir.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengutuk sekeras-kerasnya keputusan tersebut sebagai keputusan yang mempunyai niat jahat untuk mengekang sokongan rakyat yang menentang rampasan kuasa tentera oleh Fatah Al-Sisi.

Tidak cukup Morsi sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun, kini rejim tentera mahu memastikan kesan revolusi rakyat melalui Arab Spring 2011 di Mesir itu ditamatkan sepenuhnya. Seluruh aparatus kerajaan dieksploitasi untuk menghapuskan sebarang penentangan kepada bekas rejim Hosni Mubarak.

Keputusan itu adalah keputusan gila sejak rampasan kuasa dilakukan oleh tentera atas nama menyelamatkan Mesir dari kuasa asing. Tentera di bawah arahan Al-Sisi yang melanggar semua hak demokrasi rakyat Mesir telah melancarkan penangkapan, penculikan, penyiksaan dan pembunuhan yang sangat zalim bukan sahaja ke atas pemimpin-pemimpin Ikhwan Muslimin malah juga ke atas aktivis demokrasi di kalangan rakyat Mesir.

Sejak rampasan kuasa oleh tentera, peristiwa pembunuhan massa di Rabaa dan penahanan lebih 41,000 orang atas tuduhan politik yang merengkok dalam penjara telah meletakkan Mesir sebagai negara penindas paling zalim ke atas sebarang penentangan terhadap pemerintahan tentera. Tidak ada sebarang siasatan dan pendakwaan dijalankan ke atas mana-mana pegawai tentera mahu pun polis yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan di medan Rabaa Al-Adawiya pada 14 Ogos 2013 yang mengakibatkan paling minima 817 orang awam terbunuh dalam satu hari.

Rejim Mesir perlu dikutuk sekeras-kerasnya oleh masyarakat antarabangsa. Bukan sahaja keputusan itu sangat jelas suatu skima pembunuhan dan percubaan melenyapkan gerakan Ikhwan Muslimin di Mesir malah ia telah mematikan demokrasi yang dipuja oleh kuasa Barat.

Keputusan itu telah pun dikecam oleh Transperancy International sebagai proses pembicaraan yang tidak memenuhi prosidur standard dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Morsi dan beberapa orang lagi yang dijatuh hukuman mati telah dibicara dalam keadaan absentia (tidak dihadirkan) dan tanpa pembela. Pembicaraan yang sangat pelik dan tidak logik itu diteruskan dihadapan dunia yang menyaksikan rejim tentera yang telah merampas kuasa rakyat.

Kami menegaskan bahawa kuasa Barat jelas turut mendalangi rampasan kuasa oleh rejim tentera dan menafikan hak demokratik rakyat Mesir. Sejak rampasan kuasa yang diketuai oleh Fatah Al-Sisi berlaku pada 2013 yang melibatkan lebih 5,000 rakyat awam terkorban, tidak ada kuasa Barat yang bertindak untuk mengutuk dan memberi tekanan kepada regim tentera.

Mesir kini kembali menjadi negara kuasa tentera yang bertindak memerintah secara kuku besi dan mengguna kuasa kehakiman dan kuasa eksekutif untuk menindas sebarang suara rakyat yang mengkritik pemerintah.

Malangnya keadaan yang berlaku tersebut tidak menunjukkan reaksi kuasa Barat untuk bersuara dan memberi tekanan kepada rejim tentera Mesir. Kuasa Barat terutama Amerika Syarikat jelas bersifat hipokrit dan double standard apabila ia melibatkan hukuman ke atas pemimpin dan aktivis gerakan Islam.

Setakat ini hanya Toyyib Erdogan, Presiden Turki sahaja  yang mengambil sikap berani dan tegas mengutuk keputusan itu.

Kami menggesa pemimpin negara-negara Islam yang lain perlu menunjukkan solidariti dengan rakyat Mesir yang menentang rejim tentera dan mengutuk penindasan politik yang dilakukan ke atas Ikhwan Muslimin.

Kami mendesak supaya kerajaan Malaysia menyuarakan bantahan melalui kedutaan Mesir di Malaysia dan menegaskan bahawa rejim tentera Mesir perlu menghormati kehendak rakyat dan bukan menyalanguna institusi kehakiman.

Kami menyeru seluruh gerakan Islam mmenyatakan pendirian tegas mengecam keputusan tersebut dan mendesak agar Mufti Mesir tidak menandatangani perintah menjalankan hukuman mati ke atas Morsi dan tahanan politik yang lain yang dijatuhkan hukuman yang sama. - HARAKAHDAILY 17/5/2015

Penulis ialah Presiden Mapim.

Share on Myspace