Pelarian Rohingya: Malaysia wajar contohi Aceh

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Malaysia wajar mencontohi Wilayah Aceh, yang turut membantu pelarian Rohingya sekadar yang termampu walau mereka sendiri dalam kesusahan.

"Gerakan misi kemanusiaan menyelamatkan ribuan nyawa di tengah lautan itu perlulah dilancarkan segera oleh pihak kerajaan," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, PAS menyatakan kekesalan atas sikap Kerajaan Malaysia yang masih lagi belum bertindak untuk menyelesaikan isu pelarian Rohingya yang sedang terapung bersabung nyawa di lautan bersempadanan negara.

Menurutnya, mereka ditindas dengan zalim oleh pemerintah di Myanmar kerana etnik Rohingya ini tidak diiktiraf sebagai warganegara tersebut.

Tambahnya, akibat penindasan tersebut, mereka ingin lari menyelamatkan diri namun menjadi mangsa atas sindiket pemerdagangan manusia.

Isu ini, ujarnya adalah krisis kemanusiaan yang kritikal dan penyelesaian secara konkrit perlu dibuat dan diusahakan oleh Malaysia.

"Tidak guna sekiranya kita hanya mendabik dada sebagai Pengerusi Asean namun, masih gagal untuk menyelesaikan isu yang berlaku di sempadan negara sendiri.

"Apa yang lebih menyayat hati, kesemua mereka adalah orang Islam yang mana seagama dan seakidah dengan kita.

"Malaysia yang turut mengaku sebagai negara Islam contoh di dunia ini yang mengamalkan pendekatan Wasatiyyah, jadi mustahillah kita masih berdiam diri atas nasib malang yang menimpa ummat Islam jiran berdekatan kita," ujarnya yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen PAS.

Justeru, ujar beliau Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak sewajarnya bertindak segera sebagai Pengerusi Asean untuk mengadakan sidang tergempar dengan mengumpulkan kesemua ketua negara di Asia Tenggara ini untuk memberikan tekanan diplomasi yang tegas kepada pemerintah junta tentera Myanmar agar menghentikan kekejaman dan kezaliman kepada umat Islam Rohingnya di negara tersebut.

Katanya, amat malu bagi Malaysia sebagai Pengerusi Asean, apabila negara jiran iaitu Thailand memulakan usaha dengan mengadakan mesyuarat khas berkenaan isu itu pada 29 Mei nanti.

Sehubungan, kata beliau PAS mendesak Kerajaan Malaysia pimpinan PM Najib memandang serius isu kemanusiaan dan ummat Islam ini.

"Penyelesaian konkrit dalam kalangan negara Asean amat diperlukan agar bebanan yang ditanggung dapat dipikul secara bersama," kata Mahfuz lagi. - HARAKAHDAILY 17/5/2015

Share on Myspace