Dituduh penipu, Najib wajar debat dengan Mahathir

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Perdana Mnteri, Datuk Seri Najib Razak wajar berdebat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad apabila bekas Perdana Menteri itu menuduh beliau ‘tak pernah cakap betul, selalu bohong’.

Demikian pandangan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man Perdana sebagai respons kenyataan Najib semalam yang menyatakan hutang RM42 bilion 1MDB itu kini tersimpan dalam bentuk tanah TRX seluas 70 ekar dan Bandar Malaysia seluas 500 ekar.

Katanya, jika benar apa yang dikatakan Najib, maka ini adalah satu pengakuan bahawa 1MDB sudah habis menggunakan RM42 bilion yang dipinjamnya, dan sekarang terpaksa bergantung pada pembangunan TRX dan Bandar Malaysia untuk melangsaikan hutangnya.

"Bukankah ini satu bola tanggung kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berkata bahawa dakwaannya mengenai 1MDB benar selama ini?" tanya beliau dalam satu kenyataan.

Ini, ujar beliau kerana RM42 bilion ialah satu jumlah yang teramat besar.

"Jikalau duit yang dikumpul melalui hutang ini digunakan dengan betul di TRX dan Bandar Malaysia sudah tentu 1MDB sendiri boleh menbangunkan TRX tanpa menjual tanahnya kepada Lembaga Tabung Haji," ujarnya lagi.

Selain menjual tanah, beliau juga bertanya apakah sumber pendapatan 1MDB yang lain dan bagaimana aliran tunai bulanan 1MDB.

"Apakah sumber pendapatan 1MDB sekarang mampu menampung pembayaran bunga hutang dan operasi 1MDB?

"Atau 1MDB hanya sekadar bergantung untuk mencairkan asetnya sebagaimana ia sedang menjual tanah TRX sekarang untuk menampung perbelanjaannya?" tanya Tuan Ibrahim lagi.

Oleh itu, ujarnya wajarlah Najib berdebat dengan Mahathir yang sudah menyatakan kesudiannya dan menuduh beliau ‘tak pernah cakap betul, selalu bohong’ kerana ia satu tuduhan yang berat bagi seorang Perdana Menteri.

Tambahnya, ini adalah peluang Najib untuk membuktikan bahawa siapa sebenarnya yang berbohong antara beliau dan Mahathir terutamanya apabila bekas bosnya baru sahaja terbukti silap mengenai peletakan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat. - HARAKAHDAILY 17/5/2015

Share on Myspace