Guna peruntukan baharu banteras pembalakan haram

HARAKAHDAILY | .

Transparency International-Malaysia (TI-M) mahu Jabatan Hutan Sarawak menggunakan peruntukan baharu dan mengambil tindakan tegas membanteras pembalakan haram dengan segera.

Berdasarkan laporan media yang terbaharu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan serbuan ke atas 49 lokasi dan membekukan sebanyak akaun 519 syarikat dan individu, melibatkan jumlah keseluruhan RM700 juta menerusi Ops Gergaji dalam usaha menjalankan siasatan berkaitan perlakuan rasuah dalam sektor pembalakan dan penebangan hutan secara  haram yang masih berleluasa di Sarawak. SPRM juga telah membekukan sebanyak 1,623 akaun syarikat dan individu di Sabah berjumlah RM560 juta baru-baru ini.
 
TI-M sangat sangat berharap apabila pemdakwaan dibuat tethadap individu yang bersalah pastikan hukuman berat dikenakan terhadap mereka. Pada tahun lepas empat orang pembalak haram masing-masing dipenjara sehari dan didenda berjumlah RM80,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah Limbang selepas mengaku bersalah menawarkan rasuah kepada pegawai penguat kuasa bagi melindungi aktiviti mereka.
 
Baru-baru ini seorang pegawai Jabatan Hutan Daerah Hulu Perak dijatuhi hukuman denda RM70,000 atau tujuh bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku menerima rasuah RM100,000 daripada seorang kontraktor balak, tiga tahun lepas.
 
Hakim Mahkamah Sesyen turut mengarahkan wang tunai RM768,970 milik pengawai tersebut, yang dirampas dari rumah tertuduh serta wang berjumlah RM3,103,324.71 dalam 12 akaun milik isteri dan empat anaknya (jumlah keseluruhan RM3.872 juta) dilucut serta diserah kepada kerajaan Malaysia.
 
Mahkamah membuat keputusan itu selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah pada prosiding.
 
Tanpa dikenakan penjara kemungkinan besar tertuduh akan melakukan sekali kegiatan mereka. Selain daripada untuk memastikan ia tidak akan melakukan kesalahan yang sama, hukuman penjara juga akan memberi pengajaran kepada orang lain agar tidak melakukan perbuatan rasuah.
 
Isu pembalakan dan penebangan hutan secara tidak sah di Sarawak bukan perkara baharu. Di mana isu mendapat perhatian pelbagai pihak dari dahulu lagi. Justeru, tindakan SPRM dan beberapa agensi lain termasuk Jabatan Hutan Negeri Sarawak sesuatu yang amat baik. Perkembangan ini disambut ramai demi melindungi khazanah hutan demi manfaat generasi akan datang.
 
TI-M juga mengadakan siri program integriti di Sarawak sejak dua tahun lalu bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesan buruk pembalakan dan penebangan hutan secara haram.
 
TI-M berpandangan bahawa tindakan tegas perlu dipertingkatkan bagi membanteras pembalakan haram dan perbuatan rasuah sama sekali. Ini peluang yang baik memandangkan kepimpinan Tan Sri Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak yang baharu, juga memperlihatan komitmen bagi mengatasi masalah ini. Ada iltizam politik yang kuat di pihak kepimpinan Tan Sri Adenan. Beliau menunjukan satu contoh yang baik. Maka, bagi memastikan iltizam politik itu berkesan, agensi-agensi kerajaan perlu bertindak proaktif.
 
Pemerintahan menjadi lemah kerana setiap kali rasuah berlaku, maka pemerintah kehilangan hasil atau tergelincir daripada tindakan-tindakan yang sepatutnya. Umpamanya jika cuai terhadap sesuatu yang telah ditentukan, maka pemberian rasuah telah menggantikan wang cukai yang sepatutnya dikutip dan manfaatnya hanya dinikmati oleh segelintir pemberi rasuah.
 
Jika sekiranya pemimpin di negeri lain mengikuti jejak langkah beliau sudah pasti kegiatan balak akan berkurangan dan akan mendapat kepercayaan rakyat.
 
Dewan Undangan Negeri Sarawak telah meluluskan pindaan ke atas Ordinan Perhutanan 2015 pada bulan lalu, di mana hukuman penjara mandatori dan denda RM25,000 bagi setiap kesalahan menanti pembalak haram. Pindaan ini turut memperuntukkan penahanan tanpa waran, menahan dan memeriksa kenderaan disyaki digunakan dalam kegiatan pembalakan haram dan pelucutan hak barangan dirampas. Malah, peruntukan baharu juga memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengarahkan pembalak membayar royalti, premium dan cukai tidak kurang 10 kali ganda nilai balak haram kepada kerajaan negeri.

TI-M berpandangan Jabatan Hutan Sarawak perlu menguatkuasakan peruntukan-peruntukan baharu ini dengan tegas bagi mematahkan kegiatan pembalakan secara haram di Sarawak. Jabatan Hutan Sarawak perlu bertindak sebagai agensi utama dalam mengatasi isu ini. Pindaan ke atas Ordinan Perhutanan 2015 telah memberi kuasa yang lebih luas bagi menangani masalah yang menghantui rakyat Sarawak.
 
Sementara jalinan kerjasama SPRM dan Jabatan Hutan dalam Ops Gergaji adalah baik, tetapi tindakan proaktif Jabatan Hutan Sarawak sangat penting bagi melindungi kawasan hutan atau 'aset hijau' daripada digondol kumpulan yang hanya mengutamakan keuntungan segera.

TI-M juga berpandangan bahawa sudah sampai masa kerajaan mengambil tindakan yang amat tegas bagi menghapuskan kegiatan pembalakan dan penebangan hutan secara haram. Penyelesaian dengan hanya mengenakan kompaun yang diamalkan di kebanyakan negeri selama ini di Malaysia sudah tidak lagi berkesan. Kompaun tidak menakutkan pihak yang menjalankan pembalakan haram, sebaliknya kerakusan menggondol hutan berterusan dan makin berleluasa.

Oleh itu, TI-M amat berharap Jabatan Hutan Negeri Sarawak akan menggunakan peruntukan baharu yang telah dibekalkan oleh Dewan Undangan Negeri untuk bertindak tegas. Sementara peruntukan lebih tegas sudah ada, Jabatan Hutan Negeri Sarawak perlu melihat aspek logistik dan modal insan untun memastiknan keberkesanan penguatkuasaan Ordinan Perhutanan 2015.

Hanya tindakan tegas dan berterusan Jabatan Hutan Negeri Sarawak yang boleh memastikan pembalakan haram di Negeri Sarawak dapat diatasi sama sekali.

Datuk Akhbar Satar
Presiden Transparency International Malaysia

HARAKAHDAILY 17/5/2015

Share on Myspace