Morsi dihukum mati, rejim Al-Sisi setara zaman Firaun

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS mengutuk tindakan mahkamah Mesir yang menjatuhkan hukuman mati kepada Dr Mohammed Morsi serta lebih 100 rakan beliau.

"Ini zaman kegelapan Mesir di alaf baru," kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Justeru, kata beliau Kerajaan Malaysia dan negara-negara perlu turut sama mengutuk hukuman mati bermotifkan politik itu dan mendesak agar Morsi dan kesemua tahanan politik dibebaskan.

Tambahnya, tindakan mengenakan tahanan politik dan perbicaraan sebelah pihak dengan tuduhan yang sengaja direka adalah pengkhianatan kepada sistem kehakiman.

"Tindakan kejam rejim Al-Sisi hanya akan menambahkan kebencian rakyat dan kemurkaan Allah Taala.

"Kezaliman melampau rejim Al-Sisi hari ini sudah setara dengan zaman Firaun di Mesir," ujarnya lagi.

Beliau berkata, PAS juga menggesa badan antarabangsa khususnya Amnesty International dan para pemimpin dunia Islam terus mendesak agar Dr Morsi dan tahanan politik lain dibebaskan.

Tuan Ibrahim menambah, tindakan badan dunia mendiamkan diri serta tidak melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya terutamanya yang didominasi Barat sangat dikesali.

Morsi dan Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Dr Yusuf Al-Qaradawi dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Mesir, semalam atas tuduhan melakukan rusuhan di penjara pada 2011 bagi menentang Presiden Hosni Mubarak.

Bagaimanapun, hukuman itu hanya akan dilaksanakan selepas mendapat pengesahan daripada Mufti Besar Mesir.

Keputusan akhir hukuman akan diumumkan pada 2 Jun nanti. - HARAKAHDAILY 17/5/2015

Share on Myspace