Tabung Haji: Siasat semua pihak terlibat

SALMIYAH HARUN|FOTO WAN ZAHARI | .

KUALA LUMPUR: Wakil pencarum Tabung Haji hari ini menyerahkan Memorandum Rakyat Selamatkan Tabung Haji kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi menggesa Dewan Rakyat menjalankan siasatan di bawah Jawatankuasa Pemilih (Select Committee) berhubung pembelian tanah Tun Razak Exchange (TRX) oleh Tabung Haji (TH).

Menurut wakil pencarum, siasatan itu perlu dibuat secara terperinci dengan memanggil semua pihak yang terlibat tanpa terkecuali.

Penyerahan memorandum yang diketuai oleh Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar turut menggesa agar Dewan Rakyat mendedahkan hasil siasatan itu kepada rakyat agar ketelusan dapat diketahui.

Dan katanya, segala kesalahan dalam urusan jual beli TRX oleh Tabung Haji dapat dibawa ke muka pengadilan untuk dibicarakan dan dihakimi mahkamah.

Memorandum rakyat ini turut diwakili oleh lebih 15 organisasi  antaranya PAS, PKR, Abim, Gamis, SAMM, Royalti, Panglima, Jingga 13, Anak, Yayasan Pembangunan Ummah, Terap Care dan Pertubuhan Kepedulian Keperihatinan Insan (Peduli).

Terdahulu Mahfuz yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen PAS bangun mengemukakan Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2) bagi membolehkan dewan merunding isu transaksi pembelian tanah dengan harga hampir 50 kali ganda daripada harga asal TRX oleh TH dengan pihak 1MDB.

Usul yang diserahkan pada 15 Mei 2015 bagi Mahfuz ianya perlu dibincangkan kerana ia telah melibatkan kepentingan ramai kerana terdapat seramai 8.6 juta pendeposit di kalangan umat Islam.

"Mereka ini terdiri daripada pelbagai golongan termasuk yang berpendapatan rendah berusaha gigih dengan titik peluh kesusahan dan derita air mata untuk pergi menunaikan ibadah haji di Mekah," katanya.

Bagaimanapun Pandikar Amin telah menolak usul tersebut kerana tidak perlu disegarakan.

"Tindakan sudah diambil TH sudah menjual balik tanah berkenaan. Apa lagi isu yang perlu dibincang? RMK-11 yang akan dibentangkan sesi ini, boleh bahas lagi. Tak nampak kesegeraan," jelas Pandikar Amin. - HARAKAHDAILY 18/5/2015

Share on Myspace