Ketua Pembangkang: Wan Azizah ucap terima kasih

SALMIYAH HARUN|FOTO WAN ZAHARI | .

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berjanji akan melaksanakan kembali Jawatankuasa Kabinet Bayangan Pakatan Rakyat.

Di mana katanya, setiap kementerian terpilih akan diwakili oleh seorang ahli parlimen dari setiap parti, ianya bertujuan untuk memperkukuhkan timbang tara (check and balances) demi memelihara kepentingan rakyat.

Selain itu, Wan Azizah juga akan mengadakan perbincangan hati ke hati dengan kepimpinan Pakatan Rakyat atas persetujuan dasar bersama (Common Policy Framework) untuk mematahkan dakyah politik perkauman dan agama oleh kerajaan Umno BN.

Beliau turut mencadangkan kepada kerajaan agar diwujudkan Jawatankuasa Fiskal atau Bajet Parlimen dengan segera agar proses merangkakan bajet negara lebih inklusif dan demokratik.

"Tujuannya adalah meletakkan ketelusan dan akauntabiliti sebagai asas tatakelola pemerintah baik," katanya di lobi parlimen hari ini sebaik sahaja selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Beliau juga akan melakukan perkara ini berdasarkan prinsip permuafakatan bersama, meletakkan keutamaan keadaan dan keperluan masyarakat berbilang kaum serta agama.

Ini semua, jelas beliau akan mengguna pakai prinsip dan pendekatan figh awlawiyat serta berpandukan kepada tujuan pensyariatan yakni maqasid syariah agar hikmah dan prinsip keadilan memenuhi segala perjanjian atau perjanjian kenegaraan iaitu Perlembagaan Persekutuan menjadi teras kesepakatan Pakatan Rakyat.

Beliau turut berterima kasih kepada pucuk pimpinan Pakatan Rakyat daripada PAS dan DAP di atas pelantikannya.

"Kemenangan ini adalah isyarat jelas mandat rakyat bahawa perjuangan reformasi oleh Saudara Anwar masih relevan untuk kita teruskan," ujarnya. - HARAKAHDAILY 18/5/2015

Share on Myspace