Gempa Nepal: Yayasan Amal, Papisma perlu sumbangan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu (YAMCT) masih lagi memerlukan sumbangan dari orang ramai bagi memberi santunan maksimum kepada mangsa gempa bumi di Nepal.

Bencana gempa bumi terbaru di Nepal melibatkan lebih 8,000 kematian setakat ini.

Dua gegaran besar 25 April dan 12 Mei lalu mengakibatkan 500,000 hingga 600,000 rakyat Nepal hilang tempat perlindungan selamat.  Rumah dan bangunan selamat ranap sama sekali.

Pengerusi YAMCT, Dr Suhazeli Abdullah berkata, pasukan pertama Yayasan Amal Malaysia tiba di negara bencana gempa tersebut pada awal Mei lalu manakala pasukan kedua masih berada di sana bagi menyantuni mangsa-mangsa gempa bumi yang cedera.

Katanya, Yayasan Amal Malaysia dengan kerjasama pasukan perubatan dari Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) akan menghantar pasukan ketiga pada 21 Mei nanti.

"Pasukan ini akan dipimpin oleh Ketua Setiausaha Yayasan Amal Malaysia bersama 3 pegawai perubatan dari Papisma dan 9 sukarelawan," ujarnya.

YAMCT,  ujarnya juga menghantar khusus beberapa ahli jawatankuasanya untuk memberi khidmat kepada mangsa-mangsa gempa bumi yang amat memerlukan ini yang akan diketuai oleh Mohd Fauzi Abu Samah.

Jelasnya, antara objektif utama misi kemanusiaan ketiga ini adalah rawatan perubatan ke atas mangsa yang cedera, menyediakan khemah-khemah hasil derma dari seluruh rakyat Malaysia, membekal makanan harian kepada mangsa yang dhaif, memberi sokongan psikologi kepada mereka dan melangsungkan amanah waqaf Al Quran kepada mangsa-mangsa terlibat.

Katanya, sumbangan boleh disalurkan kepada Akaun Maybank Islamik Amal Terengganu Dana Bencana nombor 563064131947. - HARAKAHDAILY 18/5/2015

Share on Myspace