Hukuman mati: Rejim As-Sisi lagak kejam bagaikan Firaun

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS menyatakan bantahan sekeras-kerasnya atas hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Mesir terhadap Mohammad Morsi, Mohd Badie, Syeikh Yusof Al-Qardhawi dan ratusan lagi tahanan politik khususnya pemimpin Ikhwanul Muslimin.

"Jelas menunjukkan pada zaman serba moden ini, rejim As-Sisi lagak kejamnya bagaikan Firaun di zaman purba, menghukum bunuh kepada sesiapa yang menjadi musuhnya," ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, Malaysia sebagai ahli dalam pertubuhan OIC dan juga Ahli Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB, wajar menyuarakan bantahan keras terhadap hukuman ini.

"Adakah kita hanya ingin berdiam diri seolah merestui sahaja pembunuhan berinstitusi ini?" tanya beliau yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen PAS.

Menurutnya, Mesir boleh dikenakan tekanan dan hukuman diplomatik oleh gabungan OIC dan PBB jikalau ada pemimpin yang berani bersuara.

Beliau menambah, Kerajaan Mesir pimpinan As-Sisi sekarang begitu berani melakukan apa sahaja kezaliman kerana tidak ada tekanan yang kuat daripada pihak luar.

Justeru, tegasnya PAS mendesak Kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak punyai keazaman dan keberanian untuk bersuara di peringkat antarabangsa.

"Amat rugilah jika Malaysia hanya hebat melaungkan slogan seperti Wasatiyyah dan negara Islam contoh sedangkan apabila kezaliman dan kekejaman berlaku, kita tidak berani pun untuk menyatakan bantahan dan teguran," ujarnya. - HARAKAHDAILY 19/5/2015

Share on Myspace