Pelarian Rohingya terkapai merenung nasib di lautan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia sebagai Pengerusi Asean perlu bertindak segera dalam isu menyelelamatkan pelarian Rohingya yang terkandas di perairan antarabangsa bersempadan dengan negara kita.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, nyawa mereka yang ditimpa malang dan menjadi mangsa sindiket penyeludupan manusia itu amatlah wajar dibantu oleh Malaysia atas dasar perikemanusiaan.

"Apatah lagi, kesemua mereka adalah beragama Islam, saudara seakidah dengan kita yang mendabik dada negara Islam contoh di dunia," ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, ujarnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu memainkan peranan penting menggerakkan Asean untuk memberi tekanan yang kuat dan tegas kepada Kerajaan Junta Tentera Myanmar yang bertindak kejam menindas rakyat berbangsa Rohingya ini.

Di samping itu, kata beliau Kerajaan Malaysia sewajarnya bekerjasama dengan United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) untuk mencari jalan penyelesaian sementara bagi pelarian Rohingya ini sepertimana pengalaman Malaysia yang pernah menguruskan pelarian perang Vietnam pada tahun 1975 dahulu yang ditempatkan di Pulau Bidong, Terengganu.

Tambahnya, tidak cukup Malaysia hanya berbangga memegang jawatan sebagai Pengerusi Asean dan Ahli Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB sedangkan masalah yang berlaku di halaman sempadan sendiri, kita hanya berdiam diri dan membiarkan sahaja pelarian terkapai-kapai merenung nasib di lautan. - HARAKAHDAILY 19/5/2015

Share on Myspace