Pemulihan 1MDB: Mengapa tak tunggu laporan audit?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Rakyat tidak mengetahui bahawa 1MDB di dalam proses pemulihan bagi mengurangkan hutang sehinggalah pengakuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.

"Ini jelas satu pengakuan besar bahawa 1MDB sememangnya bermasalah besar sehingga kerajaan terpaksa campur tangan untuk menyelesaikannya," kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, Najib berkata langkah pemulihan bertujuan untuk mengurangkan jumlah hutang 1MDB dan 'inilah perkara yang sedang diusahakan kerajaan'.

Justeru, ujar beliau Najib perlu berterus-terang apakah dengan langkah pemulihan yang bakal dan telah diambil bagi mengurangkan hutang 1MDB sebanyak RM42 bilion.

Beliau mempersoalkan apakah langkah pemulihan ini sudah dijalankan lama disamari oleh ‘pelaburan’ berbilion ringgit badan berkanun kerajaan.

Ini, ujarnya seperti Lembaga Tabung Haji melebihi RM1 bilion (sukuk dan pembelian tanah TRX),  Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) berjumlah RM1.4 bilion dalam anak-anak syarikat 1MDB, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM1.74 bilion (RM200 juta melalui pembelian bon dan RM1.52 bilion dalam dua anak syarikat 1MDB) dan lain-lain yang didedahkan parlimen hari ini.

Justeru, kata Tuan Ibrahim PAS menggesa agar Najib membawa langkah pemulihan itu untuk dibentangkan di parlimen untuk mendapat kelulusan.

"Sebelum kelulusan boleh diberi, Najib perlu menjawab di mana duit RM42 bilion yang dipinjam oleh 1MDB daripada merata tempat?" kata beliau.

Lebih membimbangkan, ujarnya apabila Najib menyatakan bahawa 'Kementerian Kewangan boleh sama-sama memastikan pelan pemulihan itu dapat dilaksanakan'.

Beliau berkata, jika negara mempunyai Menteri Kewangan yang berlainan daripada Perdana Menteri, sudah tentu Najib boleh memberi pandangan berbeza.

"Tapi ini tidak, Najib menyarankan sebagai Perdana Menteri dan beliaulah yang membuat keputusan sebagai Menteri Kewangan.

"Jelas ini satu konflik kepentingan yang hanya boleh diselesaikan dengan peletakan jawatan Najib sebagai Menteri Kewangan dan Penasihat 1MDB dengan serta-merta," katanya.

Bagi beliau, Najib pandai menyarankan agar mereka yang menyerang 1MDB untuk sabar menunggu hasil siasatan Ketua Audit Negara terhadap 1MDB.

"Mengapa pula beliau tidak dapat bersabar menunggu sebelum mengarah kerajaan melaksanakan langkah pemulihan terhadap 1MDB?

"Apakah ada bunga hutang yang sedang mengetuk di pintu 1MDB sehingga langkah terdesak ini diambil tanpa mengira pandangan dan persepsi bahawa apa yang dilakukan inilah adalah terang-terangan satu salahguna kuasa yang teramat menjijikkan?" katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap ahli parlimen Pakatan Rakyat dapat terus mendesak Najib dengan isu 1MDB pada persidangan parlimen. - HARAKAHDAILY 19/5/2015

Share on Myspace