Hukuman mati semarakkan perjuangan anak muda Mesir

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan Mesir apabila Mahkamah Mesir menjatuhkan hukuman mati kepada lebih 100 orang pejuang Islam, yang diketuai oleh Dr Mohammad Morsi, bekas Presiden Mesir yang sah.

Pengerusinya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, lebih memeranjatkan apabila mahkamah turut menjatuhkan hukuman yang sama ke atas Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Dr Yusof Al-Qaradhawi yng menetap di Qatar.

Selain Dr Mohammad Morsi, 100 orang pemimpin Ikhwan Muslimin yang lain yang turut dijatuhkan hukuman mati ialah Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin Dr Mohammad Badi', pimpinan kanan Khairat Shatir, Presiden FJP Dr Saad Katatni, Naib Presiden FJP Dr Esom Eryan, pemimpin Ikhwan Dr Mohammed Beltaji.

Katanya, keputusan Mahkamah Mesir menjadi episod malang tidak berkesudahan buat umat Islam di Mesir dan Abdul Fattah As-Sisi menepati sejarah sebagai Firaun moden yang zalim dan bongkak.

Tambahnya, ternyata beliau lebih gemar tunduk kepada tuntutan Israel serta Amerika Syarikat sehingga sanggup mengorbankan ribuan syuhada di Dataran Rabiah dua tahun lepas serta menjatuhkan hukuman mati ke atas pemimpin-pemimpin Ikhwan Muslimin berbanding menegakkan kebenaran dan keadilan di bumi sendiri.

"Bagi pendukung kebenaran dan gerakan Islam seluruh dunia, hukuman ini tidak merencatkan perjuangan kami," tegasnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya roh, semangat dan jiwa Dr Mohammad Morsi serta pemimpin Ikhwan Muslimin yang lainnya tetap bersama anak-anak muda khususnya di Malaysia.

Katanya, kesyahidan mereka akan memarakkan api perjuangan menentang kezaliman penguasa yang angkuh dan sombong.

"Kami sentiasa yakin, jika seorang Dr Mohamamd Morsi mati, sejuta Dr Mohammad Morsi yang lain akan lahir, memimpin dan menjatuhkan kezaliman Abdel Fattah As-Sisi," ujarnya. - HARAKAHDAILY 19/5/2015

Share on Myspace