PAS dahului rakyat di sebalik isu dalaman

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan PAS sentiasa mendahulukan rakyat dalam setiap masalah yang mereka hadapi.

Presiden PAS berkata, contoh terbaik adalah ketika bencana banjir di Kelantan tahun lalu apabila kerajaan negeri tampil menyediakan rumah untuk rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan hadirin pada Bicara Khas Presiden PAS di MyHarakah Bazaar tengah hari tadi, yang melihat PAS hanya tertumpu krisis dalaman berbanding masalah rakyat.

"PAS sentiasa mendahului rakyat dalam segenap isu dan ap yang mereka hadapi.

"Contoh terdekat adalah ketika banjir di Kelantan tahun lalu, kerajaan negeri menyediakan rumah untuk mangsa-mangsa banjir," katanya.

Menurut beliau lagi, walaupun Kelantan tidak mempunyai kewangan yang mewah tetapi rakyat tetap hidup senang.

"Kelantan walaupun tidak mewah dari segi kewangan tetapi rakyat hidup senang, tidak seperti negeri di bawah Barisan Nasional (BN), negeri kaya tetapi rakyat susah.

"Ini jelas membuktikan pentadbiran PAS di bawah prinsip Islam segalanya menjadi baik," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 19/5/2015

Share on Myspace