Peningkatan ahli kerana semakin ramai faham Islam

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Peningkatan keahlian baru PAS seramai 15,807 orang pada tiga bulan pertama 2015 dilihat sebagai perkembangan baik kepada parti itu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, faktor peningkatan ini juga kerana mereka memahami perjuangan Islam yang dibawa PAS serta peranan media baru.

"Saya melihat ia sebagai perkembangan media baru yang menjelaskan tentang Islam yang sebenar serta perjuangan PAS

"Media baru memberikan perkembangan terbaik dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat di luar," jelasnya pada Program Bicara Khas di MyHarakah Bazaar.

Menurut beliau lagi, masyarakat luar lebih gemar membaca untuk mengenali Islam jika dibandingkan dengan masyarakat Malaysia.

"Saya melihat orang luar lebih gemar membaca untuk mereka mengenali Islam dan apabila mereka mengetahui indahnya Islam, dengan sendiri mereka mendekatinya.

"Sesetengah orang kita lebih gemar menjadi penonton (tidak mengkaji Islam), apabila hanya membaca apa-apa yang disiarkan maka pemahamannya tidak betul.

"Apabila mereka yang rajin membaca (mengkaji) ini tahu betapa indahnya Islam yang dipegang oleh PAS, mereka akan menyertai kita," katanya lagi.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Marang turut menjelaskan, peningkatkan keahlian bukannya disebabkan hudud semata-mata.

Jika mereka hanya membaca tentang hukum-hukum di dalam hudud sahaja (bukan melihat Islam keseluruhan), bukan sahaja mereka takut tetapi terus meninggalkan Islam.

Peningkatan 2015 melebihi 2014 apabila sepanjang tahun lepas hanya 19,764 orang menyertai PAS. – HARAKAHDAILY 20/5/2015

Share on Myspace