Bahaya sempadan: Pemuda PAS gesa cari kaedah baharu

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Malaysia mencadangkan Kerajaan Malaysia mencari kaedah-kaedah terbaik dan terkini bagi memelihara kedudukan sempadan negara terutamanya di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Negeri Sabah (ESScom) dan Zon Keselamatan Pantai Timur Negeri Sabah (ESSzone).

Pengerusinya, Dr Raja Ahmad Iskandar al-Hiss berkata, kejadian pencerobohan dan juga penculikan yang sering berlaku di perairan Semporna dan Lahad Datu amat membimbangkan serta pernah juga berlaku penculikan Pegawai Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di sana.
 
"Perkara penting yang sentiasa dibincangkan adalah langkah kemas serta proaktif bagi memantau dan seterusnya mengawal sempadan dan pergerakan migrasi, selain memastikan tiada penyeludupan barang atau manusia berlaku di sana," ujarnya dalam sau kenyataan.

Beliau berkata, banyak cadangan yang dilontarkan seperti mempertingkat kerjasama baik dengan negara jiran seperti Negara Filipina dan Negara Indonesia dalam menangani isu sempadan dan keselamatan terutamanya di Sabah setelah berlakunya kejadian di Lahad Datu pada 9 Februari 2013 dahulu.
 
Tambahnya, terdapat juga cadangan daripada bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Abdul Rahman Hamid agar dibina tembok ataupun mengadakan pagar sepertimana di sempadan antara Negara Thailand dan Negeri Kelantan.

"Terdapat juga cadangan yang dilontarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed semasa program ‘Bicara Negara’ di Ipoh baru-baru ini setelah sebuah syarikat menemuinya bagi memberikan taklimat produknya iaitu kapal terbang tanpa pemandu yang canggih untuk memantau perairan dan sempadan kita," ujarnya.
 
Produk tersebut, katanya mampu mengesan pergerakan dan mengesan identiti melalui kameranya, ianya juga berupaya beroperasi dua belas jam tanpa henti sepertimana yang dimaklumkan oleh Mahathir.

Menurutnya, Mahathir memaklumkan kepada syarikat tersebut agar bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mencadangkan kepada Kerajaan Malaysia mencuba kaedah canggih tersebut.

"Bagi kami, isu kewangan bukanlah perkara besar yang lebih penting daripada isu keselamatan dan kedaulatan Negara kita," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 20/5/2015

Share on Myspace