Tingkat fungsi parlimen, adil kepada pembangkang

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan menggesa agar badan institusi parlimen mempertimbangkan layanan yang lebih adil kepada pembangkang.

Pada asasnya beliau bersetuju dengan beberapa cadangan yang dilontarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung usaha-usaha untuk meningkatkan fungsi dan integriti institusi Parlimen semalam.

Beliau berkata, Pandikar telah mencadangkan untuk mewujudkan beberapa lagi jawatankuasa khas kecil Parlimen, peruntukan masa khas sesi soal jawab bersama anggota kabinet terutamanya Perdana Menteri dan mengkaji semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963.

"Ini adalah masa yang sesuai untuk semua pihak legislatif untuk turut sama melontarkan pelbagai cadangan konstruktif bagi mereformasikan institusi Parlimen di Malaysia," ujarnya dalam satu kenyataan.

Malah, katanya penglibatan sokongannya perlu lebih luas bagi menggambarkan konsensus dan representasi rakyat.

"Saya berharap selepas sidang mesyuarat pada kali ini, satu jawatankuasa rentas parti dapat dibentuk bagi mengangkat agenda Reformasi Parlimen daripada pelbagai aspek seperti mengukuhkan konsep pemisahan kuasa, akauntabiliti kerajaan, pengurusan agenda dan pelbagai lagi bagi memastikan keberkesanan fungsi institusi ini," ujarnya.

Sebagai contoh, kata beliau konsep mengutamakan urusan kerajaan berbanding pembangkang.

Tambahnya, usul-usul seperti usul penangguhan dan usul persendirian daripada pihak kerajaan sering kali didahulukan sehinggakan pihak pembangkang tidak berpeluang untuk membawa usul-usul tersebut.

Begitu juga, katanya dengan peruntukan masa 90 minit dan keberkesanan sesi soal jawab lisan.

Menurutnya, setiap hari hampir 70 soalan yang telah disenaraikan dalam kertas Aturan Urusan Mesyuarat, namun, secara purata hanya 7 soalan sahaja yang boleh dijawab secara lisan manakala selebihnya dijawab secara bertulis.

Oleh itu, beliau berharap agar peruntukan masa dan ruang harus diberikan dengan lebih adil.

"Saya turut menyokong peruntukan lebih masa khas kepada para legislatur untuk bertanya secara langsung beberapa isu semasa kepada pihak kerajaan terutamanya kepada Perdana Menteri," katanya yang juga AJK PAS Pusat.

Tambahnya, Dewan Rakyat adalah ruang yang terbaik bagi pihak pembangkang bersemuka dengan pihak kerajaan bagi mengutarakan isu-isu tempatan dan nasional.

Jadi, ujar beliau masa yang diperuntukkan seharusnya lebih banyak kepada kami.

Tambahan pula, peruntukan kepada kawasan Parlimen tidak melalui wakil rakyat pembangkang.

Katanya, rakyat juga harus digalakkan lebih banyak terlibat dalam proses perundangan di peringkat legislatif.

Beliau berkata, mereka bukan hanya sekadar memberikan mandat menerusi Ahli Parlimen, bahkan mereka juga harus diberi ruang lebih luas untuk akses ke Parlimen, dan melalui proses konsultansi dalam pembentukan polisi.

"Oleh yang demikian, bersempena dengan usaha-usaha yang diambil oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk mengukuhkan institusi Parlimen, maka saya menggesa agar badan legislatif ini turut mempertimbangkan layanan yang lebih adil kepada pihak pembangkang dan mengupayakan hak rakyat supaya ia selaras dengan konsep demokrasi berparlimen yang matang seperti diimplementasikan di Britain dan Kanada," katanya. - HARAKAHDAILY 20/5/2015

Share on Myspace