Pemilihan PAS: Keputusan diumum hari yang sama

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemilihan Muktamar Tahunan PAS akan memastikan perjalanan pemilihan pada Jun nanti akan berjalan dengan baik setelah semua langkah dan penambahbaikan pemilihan telah dilakukan pada kali ini.

Pengerusinya Asmuni Awi berkata, pihaknya telah mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan pemilihan berjalan dengan lancar.

"Kita mengadakan mesyuarat hampir tiap-tiap malam, saya berulang-alik dari Perak ke Kuala Lumpur untuk memastikan pemilihan nanti dapat memuaskan hati semua pihak," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Malah beliau turut meminta mana-mana pihak boleh mengemukakan cadangan terus kepada beliau tanpa berselindung untuk mengelakkan timbulnya persepsi negatif.

"Saya diamanahkan untuk satu tugas yang berat, saya akan pastikan melaksanakan tugas ini seadil-adilnya. Bagilah ruang untuk saya membuat kerja saya dahulu sebelum menilai saya, kecuali kalau tidak percayakan saya, abaikan saya sebab saya dilantik oleh AJK PAS Pusat," katanya.

Beliau yakin dan percaya insiden pada pemilihan dua tahun lalu tidak akan berulang pada kali ini.

Sementara itu, untuk pemilihan kali ini katanya AJK PAS Pusat telah memutuskan sesi pemilihan akan dijalankan pada hari pertama (4 Jun) sidang Muktamar PAS Pusat di sebelah petang, jam 4 petang.

Malah katanya dalam perancangan awal, pihaknya akan cuba untuk membuat pengumuman keputusan pemilihan pada hari yang sama sekiranya perjalanan pemilihan berjalan dengan baik.

"Kita cuba umumkan keputusan pada hari yang sama. Ini perancangan dan mungkin akan berubah, ini sebagai langkah untuk mengelakkan daripada timbul persepsi bahawa jawatankuasa pemilih tidak telus," katanya.

Muktamar Tahunan PAS ke-61 akan berlangsung pada 4 hingga 6 Jun ini di Stadium Kuala Selangor, pada kali ini akan berlangsung pemilihan bagi menentukan pucuk pimpinan PAS pada sesi 2015-2017. – HARAKAHDAILY 20/5/2015

Share on Myspace