Ucapan Kit Siang: PAS Kota Bharu mohon maaf

ASLANI M | .

KOTA BHARU: PAS Kelantan berharap pimpinan di peringkat kawasan lebih berhati-hati bagi menganjurkan sesuatu program bagi mengelakkan timbul kontroversi membabitkan Pakatan Rakyat.

Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata kenyataan yang lebih bersifat peribadi hendaklah dielakkan bagi menjaga kesepaduan Pakatan.

Oleh itu katanya, PAS negeri telah memanggil PAS Kota Bharu bagi mendapat penjelasan mengenai ceramah Penasihat DAP, Lim Kit Siang di sini, baru-baru ini.

“Pada pertemuan itu PAS Kota Bharu dinasihat lebih berhati-hati dan tidak membiarkan berlaku kontroversi seperti sebelum ini,” katanya selepas menyampaikan Ucaptama Kelantan Mendepani Cabaran di Kota Darulnaim hari ini.

Hadir sama pada program itu Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Yakub, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat dan anggota-anggota Exco.

Pada malam 10 Mei lalu PAS Kota Bharu menganjurkan ceramah Kukuhkan Pakatan Hancurkan BN di Padang Perdana memmbabitkan kehadiran Kit Siang, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Pada ceramah itu Kit Siang menyifatkan kerajaan Mesir dan Jordan tidak melaksanakan perundangan syariah biar pun negara ini mempunyai majoriti penduduk Muslim.

Ekoran kenyataan terbabit menyebabkan banyak pihak termasuk Majlis Syura Ulamak PAS meminta Kit Siang memohon maaf kerana dianggap tidak menghormati pendirian kerajaan Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah (KJS).

Sementara itu Yang Dipertua PAS Kota Bharu Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, pihaknya akur terhadap nasihat PAS Kelantan berhubung penganjuran program ceramah terbabit.

Katanya, beliau bersama Dewan Harian PAS Kota Bharu hadir pada pertemuan tersebut petang semalam bagi menjelaskan mengenai isu yang berbangkit.

“Saya mewakili PAS Kota Bharu memohon maaf sekiranya ada pimpinan negeri yang tersinggung terhadap apa yang berlaku,” katanya. - HARAKAHDAILY 20/5/2015

Share on Myspace