Bantu pelarian Rohingya secara bersepadu

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dunia sekali lagi dibangunkan dengan ketibaan lebih 10,000 pelarian Rohingya di perairan Asean.

"Manusia yang terpaksa meninggalkan bumi kelahiran kerana mereka diburu dan dibunuh kerana lahir sebagai manusia Islam bernasabkan Rohingya," ujar Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Muslimat PAS Malaysia, Mumtaz Md Nawi.

Menurutnya, Myanmar sebuah negara baru menjadi ahli Asean masih tidak serik dengan tekanan dan kutukan antarabangsa bilamana puluhan tahun menolak demokrasi dan Aung San Suu Kyi anak pimpinan bangsa mereka sendiri.

Kini, ujarnya mereka mara dan meneruskan agenda di luar tahap kemanusiaan dengan menafikan warga sendiri atas alasan berlainan bangsa dan agama.

Katanya, Rohingya adalah isu yang telah sekian lama berlaku di mana penindasan dan penganiayaan dimarakkan dengan pembunuhan beramai-ramai kanak-kanak dan ahli keluarga mereka tanpa apa-apa kesalahan.

Tambah beliau, pembunuhan genoside ini dibuat berulang kali dan dengan skala yang lebih besar dan lebih kerap akhirnya telah menolak Rohingya mengambil keputusan melarikan diri dengan penuh risiko dengan membawa ribuan manusia dengan menaiki bot ke negara-negara jiran.

"Kini, Malaysia sebagai jiran, pembela hak manusia dan muslim, kita menggesa kerajaan menggunakan semua saluran diplomatik dan politik antarabangsa untuk menyelesaikan kemelut politik dan kemanusiaan ini," ujarnya lagi.

Justeru, katanya Malaysia mesti berperanan dan memberi tekanan kepada Myanmar dan membawa usul segera ini ke meja Asean, OIC dan United Nation (UN).

"Kita harus melobi dan menjuarai kes ini kerana polis dan wira dunia hak asasi kemanusiaan, Amerika dan Britain kelihatan pekak dan bisu bila mangsa adalah orang Islam di Asean," katanya yang juga Exco Kerajaan Kelantan.

Menurutnya lagi, langsung tidak kedengaran tindakan tekanan ekonomi mahupun rundingan diplomatik dibuat oleh pihak Barat dengan Myanmar untuk manfaat Rohingya dan tiada pihak secara konsisten tampil membantu mereka.

"Atas nama hak asasi dan manusia bertamadun, atas nama ukhuwwah dan persaudaraan, atas nama jiran yang bersempadanan, Dewan Muslimat PAS menggesa Kerajaan Malaysia menyalurkan bantuan kepada orang yang dizalimi Rohingya secara segera dan bersepadu," katanya.

Katanya, satu jaminan bantuan ekonomi antarabangsa dari UN dan OIC harus diperuntukkan sebagai lokasi perlindungan UNHCR.

Menurut beliau, satu perancangan jangka pendek dan panjang perlu digubal kerana mereka memerlukan penempatan, makanan dan pendidikan asas yang tentunya memakan kos yang tinggi.

"Malaysia harus berani untuk bangkit dan berkata sesuatu 'Bantu Rohingya' sebagaimana kita pernah 'bantu Aung San Suu Kyi' kerana kita percaya pada Kuasa Allah itu jua adanya," ujarnya. - HARAKAHDAILY 21/5/2015

Share on Myspace