Kenapa Najib takut untuk berdepan

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menggesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak lebih berani berdepan dalam isu-isu yang telah dibangkitkan sebelum ini.

Katanya, Najib hanya memilih jalan selamat apabila menulis di laman  blognya tanpa mengambil serius tentang permasalahan utama yang dihadapi oleh negara ini khususnya rakyat.

"Saya meneliti jawapan Frequently Asked Questions (FAQ) yang dimuatkan di Facebook, Twitter dan Blog Najib.

Kasihan pula melihat begitu susah-payahnya Perdana Menteri menyediakan skrip jawapan bagi 13 isu yang melingkari kepimpinan beliau.

"Andaian saya merasakan jawapan itu ditulis beliau sendiri sambil berbaring atau meniarap sebelum tidur dan merenung nasibnya yang mendatang," katanya.

Menurut Mahfuz lagi, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang begitu lantang mengkritik Najib sudah pun bersedia untuk berdebat secara terbuka dalam segala isu yang dibangkitkan.

"Namun, malangnya Najib memilih untuk menulis jawapan syok sendiri di laman blognya. Sungguh ironi, apabila seorang Perdana Menteri memilih jalan selamat untuk mempertahankan diri beliau.

"Adakah Presiden parti keramat Melayu Umno ini sudah hilang keberanian dan kegagahan untuk berdepan secara terbuka, walaupun panjang berjela skrip jawapan yang dikarang di blog tersebut, tetapi pada hakikatnya rakyat tetap tidak berpuas hati kerana ia tidak pun menjawab isu utama yang sebenar," kata beliau lagi yang merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena.

Tambah beliau, Najib sepatutnya menggunakan ruang pada sidang Parlimen yang sedang berlangsung sebagai satu medan untuk sesi perdebatan dan soal-jawab secara rasmi dan telus.

"Di Parlimen, para wakil rakyat Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat  boleh mendapatkan penjelasan secara terus daripada Najib sendiri.

"Justeru, saya menyeru agar beliau bersifat berani bagaikan pahlawan terbilang Umno untuk menyahut seruan perdebatan dengan mentor beliau sendiri supaya rakyat dapat menilai segala isu dan pertuduhan yang dikenakan ke atasnya selama ini adalah fakta atau fitnah," sambung beliau lagi.

Mahfuz turut berkata, jika Najib terus berdalih bahwa debat itu bukan budaya kita, beliau juga harus sedar bahawa media sosial itu pada asalnya bukan budaya kita. – HARAKAHDAILY 21/5/2015

Share on Myspace