Myanmar setuju sertai mesyuarat migran Rohingya

BERNAMA | .

BANGKOK: Myanmar akan menyertai mesyuarat mengenai isu migran Rohingya yang dihos oleh Thailand pada 29 Mei hadapan, Timbalan Menteri Luar Myanmar Thant Kyaw mengesahkan demikian Rabu.

Mesyuarat itu akan dihadiri oleh sekurang-kurangnya 18 negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand dan Myanmar, dan tiga organisasi antarabangsa.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Thailand di sini Rabu, Thant Kyaw berkata, "Saya kira mesyuarat itu baik kerana ini membabitkan hal kemanusiaan.

"Tetapi jika ia untuk tujuan politik, ia akan menjadi lebih rumit dan kompleks," katanya.

"Kita semua perlu duduk berbincang dan mencari jalan menangani masalah ini kerana ini membabitkan manusia dan wujud bencana di laut.

"Kita perlu selesaikan masalah ini bersama," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand Jen Prayuth Chan-ocha berkata negaranya akan memutuskan sama ada sedia menerima "orang hanyut" itu selepas mesyuarat tersebut.

Malaysia dan Indonesia hari ini mengumumkan bahawa mereka bersetuju menawarkan bantuan dan perlindungan sementara kepada migran Rohingya. - Bernama

Share on Myspace