Undang-undang Islam bawah bidang kuasa negeri

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom memberitahu berdasarkan Fasal (2) Perkara 74 dan butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang Islam diletakkan di bawah bidang kuasa negeri.

Katanya, kuasa negeri berkenaan dengan pewujudan dan penghukuman kesalahan terhadap perintah agama Islam hanya terpakai bagi orang yang menganut agama Islam sahaja dan setakat yang dibenarkan oleh undang-undang Persekutuan.

"Bagi maksud tersebut, pihak berkuasa agama negeri telah menggubal dan menguatkuasakan undang-undang kesalahan berkaitan syariah di negeri masing-masing," jelasnya lagi.

Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin lalu.

Lim dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan secara jelas pendirian Kerajaan Persekutuan mengenai cadangan penggubalan undang-undang jenayah Syariah yang tidak serasi dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan bertentangan dengan semangat kenegaraan Malaysia dan sama ada beliau bersetuju bahawa sebarang usaha untuk mengubah ketetapan Perlembagaan Persekutuan ini akan memecahbelahkan negara.

Pada masa ini, kata Jamil Khir, Kerajaan Perseketuan sentiasa berusaha untuk memartabatkan pentadbiran keadilan syariah termasuk memperluaskan bidang kuasa mahkamah syariah, menaik taraf sistem kehakiman syariah, menyemak semula kedudukan hakim-hakim mahkamah syariah dan memantapkan aspek penguatkuasaan dan pendakwaan syariah di negara ini.

"Sekiranya mana-mana kerajaan negeri berhasrat untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah, peruntukan undang-undang sedia ada perlu diteliti bagi memastikan pelaksanaan undang-undang tersebut selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa agar dapat memenuhi prinsip-prinsip keadilan dan kesaksamaan dalam penghukuman," ujarnya.

Oleh yang demikian, kata beliau pelaksanaan undang-undang Islam hendaklah dibuat secara teratur mengikut kerangka Perlembagaan Persekutuan khususnya aspek pemakaian undang-undang Islam tersebut yang terhad kepada orang Islam sahaja bagi menjamin kestabilan dan keharmonian negara terpelihara. - HARAKAHDAILY 22/5/2015

Share on Myspace