Asean perlu tunjuk solidariti isu pelarian Rohingya

HASNAH JUSID | .

ALOR SETAR: Negara anggota Asean perlu menunjukkan solidariti dan bersikap lebih tegas dalam mencari penyelesaian terhadap krisis kemanusiaan pelarian Rohingya, menurut penganalisis.
    
Penganalisis Antarabangsa dan Strategik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Ravichandran Moorthy berkata, sikap beberapa negara anggota Asean yang berdiam diri disebabkan faktor tidak mahu campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain, sudah tidak bersesuaian lagi pada zaman ini.
    
"Prinsip tersebut mungkin sesuai tahun 60-an hingga 80-an. Pewujudan Komuniti Asean yang dilaung-laungkan, seharusnya dianggap tidak berjaya sekiranya isu tersebut tidak berjaya dimuktamadkan.
    
"Orang Rohingya adalah sebahagian daripada komuniti Asean, mereka tinggal di Myanmar dan bagaimana dengan mereka ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
    
Negara Asean, menurut beliau, dilihat tidak menjiwai komuniti tersebut disebabkan dua faktor utama iaitu tiada pengetahuan mengenainya dan mungkin mereka tidak melihat apa faedah diperolehi daripada Komuniti Asean.
    
Mesyuarat mengenai isu pelarian Rohingya yang dihos oleh Thailand pada 29 Mei hadapan, akan dihadiri oleh sekurang-kurangnya 18 negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand dan Myanmar, dan tiga organisasi antarabangsa.
    
Malaysia dan Indonesia baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka bersetuju menawarkan bantuan dan perlindungan sementara kepada pendatang Rohingya.
    
Ravichandran berkata, konflik tersebut dijangka mengambil masa lebih lama, justeru katanya Myanmar tidak boleh dibiarkan menangani isu tersebut bersendirian.
    
Penggunaan pihak ketiga perlu dilihat sebagai alternatif kepada isu ini, sepertimana krisis yang berlaku di selatan Thailand dan selatan Filipina, dengan Malaysia memainkan peranan sebagai pihak ketiga, katanya dan menurutnya Myanmar perlu dipujuk untuk bersetuju.
    
"Kalau bukan Malaysia, negara lain (boleh jadi pihak ketiga)... Malaysia ada pengalaman dan boleh gunakan jawatan sebagai pengerusi Asean dan cari jalan penyelesaian ikut prinsip-prinsip ditentukan dalam penyelesaian konflik," katanya.
    
Mengulas tindakan Malaysia memberi perlindungan sementara kepada pelarian Rohingya, Ravichandran berkata ia bukanlah kerana takut dengan kecaman masyarakat antarabangsa, sebaliknya melihat kepentingan nasional dan tindakan negara bertamadun.
    
"Bukan kita berlembut selepas berkeras, bukan disebabkan kritikan, dan kita minta Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), segerakan proses pemindahan mereka (ke negara ketiga selepas tamat tempoh perlindungan)," katanya.
    
Myanmar, menurut beliau sepatutnya diberi lebih tekanan antarabangsa dan kecaman disebabkan sifat negara itu yang enggan bertanggungjawab terhadap pelarian Rohingya, menyebabkan masalah tersebut "melimpah" ke negara-negara jiran.
    
"Mereka abai faktor sejarah, Rohingya ini sudah ada di situ (Myanmar) sejak beratus tahun, walaupun mereka tidak diiktiraf, tetapi mereka perlu perlindungan undang-undang dan daripada regim, dan itu tidak dipenuhi Myanmar," katanya. - BERNAMA

Share on Myspace