Morsi: PR, NGO serah memo ke Kedutaan Mesir

| .

KUALA LUMPUR: Gabungan parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) hari ini berhimpun secara aman di hadapan Kedutaan Mesir bagi membantah hukuman bunuh ke atas Presiden Mesir, Dr Morsi.

Selain Dr Morsi, gabungan ini juga membantah hukuman mati ke atas Dr Yusuf Qaradhawy dan pejuang legimitasi di Mesir.

Gabungan terdiri daripada parti politik PAS, PKR, DAP serta NGO Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Pro-Mahasiswa, Jingga 13, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Malaysians4Egypt, Panglima Malaysia dan Gema.

Lebih 300 orang berarak dari Masjid Hotel De Palma Ampang ke Kedutaan Mesir selepas solat Jumaat.

Mereka menuntut Presiden Morsi dan ribuan rakyat yang dipenjarakan secara zalim dibebaskan serta hak rakyat dikembalikan.

Selain itu, sokongan antarabangsa terhadap kerajaan haram Al Sisi mesti dihentikan.

Mereka juga menyeru semua penyokong keadilan dan pencinta demokrasi bersama dengan rakyat Mesir, mengiktiraf perjuangan mereka dan mengembalikan semula hak mereka memilih sendiri pemimpin secara demokratik.

Kerajaan Malaysia dan masyarakat juga diminta membantah sekeras-kerasnya pencerobohan dan demokrasi dan keadilan ini.

Bagaimanapun, kehadiran mereka tidak dilayan oleh pihak kedutaan Mesir dan memorandum tersebut gagal diserahkan sendiri kepada pihak kedutaan sebaliknya hanya diletakkan di dalam peti surat. - HARAKAHDAILY 22/5/2015

Share on Myspace