89 rakyat asing hilang selepas gempa bumi kuat di Nepal

BERNAMA | .

KATHMANDU: Sebanyak 89 warga asing masih dilaporkan hilang di Nepal selepas gempa bumi kuat melanda negara itu pada 25 April lepas, menurut Polis Nepal.

Angka berkenaan adalah antara 329 orang yang dilaporkan hilang di laluan perjalanan terutamanya kawasan Langtang, menurut jurucakap Polis Nepal Kamal Singh Bam.

Beliau bagaimanapun tidak memperincinkan kerakyatan warga asing yang hilang itu dan berkata, jumlah rakyat Nepal yang hilang dalam kejadian itu mungkin lebih ramai berbanding yang dilaporkan.

"Operasi mencari warga asing dan Nepal sedang dijalankan dan mereka mungkin telah ditimbus di bawah runtuhan," kata Bam.

Menurut rekod polis Nepal, angka kematian gempa bumi setakat ini mencecah sebanyak 8,675 manakala mereka yang cedera meningkat kepada 21,845.

Sejumlah 8,598 mayat telah diserahkan kepada saudara-mara untuk upacara pengebumian.

Kebanyakan yang cedera telah pulang ke rumah selepas menerima rawatan. Bagaimanapun, 5,613 mangsa yang cedera parah sedang mendapatkan rawatan di pelbagai hospital di seluruh negara, kata Bam.

Beliau berkata, ramai yang masih berada dalam khemah kerana takut untuk pulang ke rumah berikutan gempa susulan yang kerap berlaku meskipun Kementerian Dalam Negeri membuat rayuan kepada rakyat untuk pulang dan menjalani kehidupan normal.

"Kami menggesa orang ramai untuk pulang ke rumah kerana gempa susulan adalah biasa dan tidak menyebabkan kerosakan besar," menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Sabtu.

Lima gempa susulan berukuran lebih 4 pada skala Richter melanda Kathmandu pada Jumaat.

Gempa bumi berukuran 4.8 pada skala Richter juga melanda bahagian barat Nepal dengan pusat gempa di Humla, berhampiran sempadan Nepal-China, menurut Pusat Seismologi Kebangsaan (NSC). - HARAKAHDAILY 23/5/2015

Share on Myspace