Pantau Rumah Selangorku, elak kesilapan era BN

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pasukan khas ditubuhkan bagi memastikan kualiti unit dibina dalam skim Rumah Selangorku menepati piawaian ditetapkan dalam langkah proaktif Kerajaan Selangor.

Selangor Kini melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, Pemantau Kualiti Rumah Selangorku (Kuasel) itu bertanggungjawab memantau perkembangan semua projek Rumah Selangorku.

“Kerajaan negeri tidak berkompromi dalam hal ini kerana akhirnya masalah ini menjadi masalah kerajaan negeri seperti rumah kos rendah, jika ada masalah rakyat akan mencari kerajaan.

“Maka dengan itu kerajaan negeri perlu bertegas dari awal lagi. Tanggungjawab ini adalah tanggungjawab kita bersama,” kata Iskandar dalam ucapannya di Majlis Pelancaran dan Pendaftaran Rumah Mampu Milik Gamuda Land Berhad di Jade Hills, Kajang hari ini.

Iskandar memberitahu selain memantau kualiti binaan, Kuasel dianggotai wakil Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), anak syarikat Kerajaan Negeri yang lain dan ahli profesional itu bertanggungjawab memastikan projek disiapkan dalam jangka masa tiga tahun.

“Ini disebabkan kerajaan terdahulu meluluskan pembinaan rumah kos rendah tetapi ada di antara mereka tidak membina langsung rumah yang dijanjikan sehingga hari ini. Jadi kita tak mahu mengulangi kesilapan sama.

“Begitu juga dengan kualiti semasa era kerajaan terdahulu sangat teruk yang sudah tentu kita tak mahu berlaku lagi dan semua ini menyusahkan rakyat bila terpaksa menanggung hutang bank tetapi rumah tak siap atau duduki rumah yang tidak berkualiti,” katanya yang juga Adun Chempaka.

Tambah Iskandar lagi, selain menubuhkan Kuasel, kerajaan negeri sebelum ini turut menubuhkan jawatankuasa khas bagi mempercepatkan proses kelulusan kebenaran merancang dalam masa kurang 60 hari.

Share on Myspace