Guru Kafa dipecat boleh merayu - Exco Selangor

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Guru Kafa, Ekhsan Bukharee yang dipecat ekoran membuat provokasi di Dewan Negeri Selangor (DNS) boleh membuat rayuan kepada pihak berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata Ehsan boleh berjumpa dengan pihak atasan mahupun beliau sendiri sekiranya masih berminat untuk menjawat jawatan itu.

“Walaupun Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak menyatakan beliau boleh membuat rayuan, tetapi beliau boleh mencuba.

“Mungkin ada kewajaran untuk dipertimbangkan jawatan semula kepada beliau. Ini bukan isu besar.

“Saya melihat dalam video yang diviralkan, seolah-olah tiada ruangan untuk beliau untuk merayu,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berpendapat tindakan pemecatan itu wajar dijadikan pengajaran dan berharap tidak berulang pada penjawat lain.

Ahmad Yunus percaya Jais mengambil keputusan profesional dalam hal itu.

“Kalau dilihat keputusan itu ada kewajarannya kerana setiap penjawat mempunyai perjanjian, hatta Pengarah Jais sekalipun jika melanggar perjanjian pasti dibuang,” katanya yang juga Adun Sijangkang.

Beliau juga menafikan pemecatan itu dipengaruhi kerajaan negeri.

“Dalam mesyuarat Exco kita tidak pernah membincangkan perkara sedemikian.

“Saya sedih perkara ini berlaku, saya faham tahap hidup yang semakin meningkat tapi perlu difahami hal ini dalam peringkat pelaksanaan,” katanya sambil berharap insiden itu tidak diulangi penjawat lain.

Share on Myspace