Setiap Dun bina 3 rumah kekal, percepat siap

SALMAH MAT HUSAIN | .

TUMPAT: Setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) yang terbabit dengan banjir disaran membina tiga rumah kekal kepada mangsa banjir bagi mempercepatkan kediaman disiapkan.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata melalui kaedah itu membolehkan mangsa-mangsa banjir dapat menduduki rumah baru lebih cepat.

Katanya juga kerajaan negeri dengan kerjasama anak-anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan NGO telah menyiapkan 60 rumah.

“Bukan 19 seperti disebut menteri sebelum ini. Kita telah membina sebanyak 60 buah dengan kerjasama NGO dan agensi kerajaan,” ujarnya kepada media selepas majlis penyerahan kunci rumah sumbangan Tesco Malaysia kepada mangsa banjir di Kampung Belian, Wakaf Bharu kelmarin.

Rumah itu milik Rubiah Sulaiman, 49, ibu kepada 11 anak disiapkan dengan kos RM60,000. Ia dibina secara gotong-royong.

Suaminya Yusof Bidin menghidap angin ahmar sejak beberapa tahun lalu.

Sebanyak tujuh lagi dalam pembinaan hasil sumbangan Tesco yang bernilai lebih RM500,000.

Baru-baru ini Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed mendakwa hanya 19 buah rumah kekal mangsa banjir siap dibina, di mana 12 daripadanya dibina kerajaan negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Datuk George Fischer berkata pihaknya sedang menyiapkan tujuh rumah untuk mangsa banjir di mana empat daripadanya dijangka siap Ramadan ini.

Dua rumah dibina di Kampung Laut dan dua lagi di Kampung Kok Keli.

Turut hadir pada program itu anggota exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood,  Ketua Jajahan Tumpat Mohd Sobri Ramli. - HARAKAHDAILY 23/5/2015

Share on Myspace