LTA Kulim: Adakah 'tindak balas' Najib kepada Mukhriz?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Kedah mempersoalkan kenapa tiada peruntukan projek Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Kulim dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kelmarin.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mahfuz Omar berkata apa yang mengejutkan dalam pembentangan yang menetapkan peruntukan pembangunan sebanyak RM260 billion itu, LTA Kulim yang ghairah dicanangkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Paduka Mukhriz Mahathir tidak disenaraikan bersama.

Tambahnya, turut tidak tersenarai dalam RMK11 ialah lima lagi projek mega yang diumumkan oleh Menteri Besar dalam ucapan Bajet 2015 tahun lalu iaitu Bandaraya Aero Kedah, Lebuh raya Sungai Petani-Kedah Inner Expressway (SPIKE), Bandaraya Getah, Taman Sains dan Teknologi Kedah dan Bandaraya Sains Perubatan Kedah.

Dalam ucapan bajet tersebut, ujarnya Menteri Besar begitu optimis bahawa semua projek tersebut akan dimasukkan dalam RMK11 bagi tempoh lima tahun mulai 2016 hingga 2020.

"Penafian terhadap kesemua projek tersebut oleh Perdana Menteri dalam RMK11 menimbulkan tandatanya," ujarnya yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen PAS.

Pertama, kata beliau kemungkinan rancangan pembinaan LTA Kulim serta lain-lain projek tersebut tiada dalam pengetahuan Kerajaan Persekutuan.

Justeru, kata Mahfuz kajian dan kertas cadangan yang dinyatakan oleh kerajaan negeri hanyalah sandiwara untuk mengaburi mata rakyat, sedangkan ianya tidak dikemukakan secara serius dan komprehensif.

"Kedua, kemungkinan Perdana Menteri ingin 'bertindakbalas' terhadap anak Tun Dr Mahathir Mohamad (Datuk Paduka Mukhriz) yang akhir-akhir ini lantang mengkritiknya, atau terdapat kemungkinan yang lain," ujarnya lagi.

Menurutnya, oleh kerana projek berkenaan diperkatakan secara serius dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah dan melibatkan kepentingan rakyat, maka beliau mendesak Menteri Besar memberi penjelasan terhadap status serta impak terhadap penafian kerajaan Persekutuan dalam menyenaraikan projek tersebut.

"Jika dalam tempoh lima tahun, tiada satu pun dari projek tersebut akan dilaksanakan, maka apa lagi projek pemangkin ekonomi negeri yang ada, sedangkan tempoh penggal Menteri Besar akan berakhir tiga tahun sahaja lagi," katanya.

Semua persoalan itu, tegasnya harus dijawab dengan jujur oleh Mukhriz selaku pemimpin kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap pembangunan sosioekonomi negeri ini. - HARAKAHDAILY 24/5/2015

Share on Myspace