S'gor belanja RM30 juta baiki rumah kos rendah era BN

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor membelanjakan RM30 juta bagi membaiki pelbagai kerosakan pangsapuri kos rendah yang dibina ketika era Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, BN mengambil sikap lepas tangan terhadap mutu binaan dan kemampuan pemaju menyiapkan projek masing-masing sehingga pelbagai masalah timbul, lapor Selangor Kini.

“Hampir semua rumah kos rendah dibina sebelum ini berkualiti rendah. Kini, penduduk dibebani dengan pelbagai masalah.

“Rumah yang susah payah dibeli menjadi neraka kepada mereka,” katanya dalam Majlis Pelancaran dan Pendaftaran Rumah Mampu Milik Gamuda Land Berhad di Jade Hills, Kajang semalam.

Iskandar berkata, sebahagian pembeli terpaksa membayar pinjaman tetapi projek terbabit terbengkalai sekian lama atau tidak dibina selain terpaksa mendiami rumah berkualiti rendah.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri menubuhkan pasukan khas Pemantau Kualiti Rumah Selangorku (Kuasel) bagi mengatasi masalah kualiti rumah rendah dan kegagalan pemaju menyiapkan projek mengikut jadual.

Share on Myspace