Rohingya: Singkirkan Myanmar daripada Asean

AHMAD TAJDID | .

Dr Syed Azman bertanya khabar keluarga pelarian Rohingya di Kem Pelarian Rohingya dekat Langsa, Lhokseumawe, Acheh.

KOTA LANGSA, Aceh: Pemerintah Malaysia dan Indonesia perlu bersikap tegas memutuskan hubungan diplomatik dengan Kerajaan Myanmar kerana tidak melakukan sebarang tindakan konkrit untuk melindungi masyarakat Islam Rohingya yang menjadi mangsa keganasan kumpulan militan Buddha dan pihak berkuasa negara tersebut.

Ahli Majlis Perwakilan Rakyat Daerah (MPRD) Aceh, Tgk Makhyaruddin Yusuf berkata, Malaysia dan Indonesia perlu menyarankan agar Myanmar dikeluarkan daripada Asean kerana pemerintah negara itu secara jelas membiarkan masyarakat Islam Rohingya hidup dalam kesengsaraan.

Makhyaruddin ditemui Harakahdaily selepas mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad yang melawat kem penempatan pelarian Rohingya dan Bangladesh di Langsa yang terletak kira-kira 155 km dari bandar Medan.

Beliau kesal kerana 'secara politiknya' masyarakat Islam Rohingya tidak mendapat pembelaan daripada negara-negara umat Islam di rantau Asean mahupun dunia kecuali Turki.

"Gabenor Aceh sendiri hanya memberikan bantuan (kepada pelarian Rohingya yang diberikan perlindung di sini) tetapi tidak mengeluarkan sebarang kenyataan memprotes tindak-tanduk regim Myanmar," ujar Ahli MPRD fraksi Parti Keadilan Sejahtera (PKS) itu.

Menyokong pendirian Tgk Mahkyaruddin, Dr Syed Azman berkata sudah sampai masanya untuk Asean mengkaji semula dasar berkecuali dan tidak campur tangan pertubuhan serantau itu dalam urusan negara anggotanya.

"Adalah menjadi kewajipan kepada setiap negara anggota Asean untuk menyuarakan pandangan terhadap sebarang bentuk tindakan menyalahi hak asasi manusia yang dilakukan oleh mana-mana pemerintah negara Asean.

"Apa yang berlaku di Myanmar kini menunjukkan kegagalan pemerintahnya melindungi hak asasi dan keselamatan kumpulan minoriti rakyat iaitu masyarakat Islam Rohingya yang ditindas dan diperlakukan dengan kejam.

"Negara anggota Asean tidak boleh bersikap berkecuali dalam isu ini kerana kesannya turut dialami oleh negara jiran Myanmar iaitu Thailand, Malaysia dan Indonesia yang kini terkesan dengan kedatangan pelarian Rohingya," tegas beliau.

Dr Syed Azman juga kesal dengan sikap pemimpin hak asasi manusia Myanmar, Aung San Suu Kyi yang sehingga kini membisu dengan kekecaman yang berlaku terhadap masyarakat Rohingya.

Dalam pertemuan itu, Dr Syed Azman bagi mewakili PAS turut menyerahkan bantuan kewangan kepada Makhyaruddin bagi disalurkan kepada pelarian Rohingya di daerah tersebut. - HARAKAHDAILY, 25/5/2015

Dr Syed Azman menyerahkan sumbangan PAS kepada Tgk Makhyaruddin dalam satu pertemuan di Kota Langsa.

 

Share on Myspace