PAS kena kenal musuh sebenar

| .

 

IPOH: PAS tidak mampu bersendirian bagi mengubah tampuk pemerintahan kerajaan BN dalam konteks demografi dan politik di negara ini.

Malah kata Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, semua parti tidak mampu bersendirian sebaliknya memerlukan rakan komponen.

Oleh yang demikian kata beliau, PAS Perak mesti membina jaringan mesra dengan semua pihak yang mempunyai matlamat dan isu yang sama untuk diperjuangkan.

"Kita sentiasa menghulur tangan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuklah NGO yang mahu bersama memperjuangkan nasib rakyat.

"Kita kena tahu siapa musuh kita yang sebenar, dan kita kena tahu serta kenal siapa yang boleh kita buat kawan," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam Konvensyen PAS Perak kali ke-18 yang diadakan di D'Hotel, Seri Iskandar dekat sini, semalam.

Konvensyen tersebut dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu dan turut dihadiri oleh wakil Pakatan Rakyat serta bekas-bekas Pesuruhjaya PAS Perak iaitu Ustaz Azizan Desa, Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abu Bakar Hussien.

Razman menjelaskan, hubungan dengan rakan Pakatan Rakyat hendaklah diperkukuh di semua peringkat dan perbezaan pendapat antara pemimpin satu sama lain tidak wajar menjadi sebab untuk berpecah.

Pakatan Rakyat Perak tetap utuh dan menjadi contoh terbaik kepada negeri-negeri lain. Masing-masing parti akan rugi dengan kehilangan rakan masing-masing, yang pasti untung adalah Umno-BN.

"Tidak ada untungnya PKR dan DAP sekiranya PAS keluar dari Pakatan Rakyat, begitu juga PAS tidak akan untung sekiranya PKR dan DAP masing-masing keluar dari Pakatan Rakyat," tegasnya lagi.

Tambah beliau, kelebihan tahaluf siyasi Pakatan Rakyat di Perak adalah kekerapan para pimpinan bertemu bagi membincangkan apa sahaja perkara yang melibatkan isu nasional, setempat dan sebagainya.

"Masing-masing saling hormat menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza pendapat.

"Hubungan PAS dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat adalah atas prinsip tahaluf siyasi yang diputuskan oleh muktamar dan diberi garis panduan oleh Majlis Syura Ulama," jelasnya lagi. - HARAKAHDAILY 25/5/2015

Share on Myspace