Aceh berikrar bantu pelarian Islam Rohingya

AHMAD TAJDID | .

KOTA LANGSA, Aceh: Masyarakat Aceh berikrar akan membantu sedaya upaya pelarian Islam Rohingya yang ditempatkan di wilayah ini bagi mengenang kembali bantuan yang diberikan umat Islam Malaysia ketika Aceh dalam keadaan bergolak di era daerah operasi militer (DOM).

Anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Aceh, Tgk Makhyaruddin Yusuf (gambar, kanan) berkata, masyarakat Aceh tetap akan membantu pelarian Rohingya meskipun mereka bukan beragama Islam atas dasar kemanusiaan dan kewajipan membantu golongan yang tertindas dan teraniaya.

"Atas dasar kepentingan dakwah dan kemanusiaan, mereka (pelarian Rohingya) perlu dibantu oleh negara-negara Islam. Secara politiknya umat Islam Rohingya tidak mendapat pembelaan negara-negara Islam termasuk Indonesia kecuali Turki," katanya.

Mahkyaruddin ditemui Harakahdaily dalam satu pertemuan dekat sini selepas mengikuti lawatan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad ke kem penempatan sementara  pelarian Myanmar di Langsa, 155 km dari bandar Medan.

Kem pelarian Rohingya di Langsa kini menempatkan sejumlah 765 pengungsi setelah bot nelayan yang dinaiki mereka ditemui dan ditunda ke daratan oleh nelayan Aceh Jumaat lalu selepas lebih sebulan terapung tanpa arah di Selat Melaka.

Tiga lagi kem pelarian Rohingya di daerah (propinsi) ini terletak di Aceh Utara yang menempatkan 635 pelarian, Aceh Timur (480) dan Kuala Simpang, Aceh Temiang (47).

Menurut Mahkyaruddin, sikap peduli masyarakat Aceh terhadap pelarian Rohingya didorong oleh sokongan dan bantuan yang pernah diterima penduduk Aceh ketika wilayah ini dalam keadaan bergolak.

"Sikap peduli orang Aceh adalah kerana semasa Aceh dalam keadaan kucar-kacir, kami mendapat bantuan dan perlindungan daripada saudara-saudara Islam dari negara lain terutamanya Malaysia," kata beliau.

Menurut beliau, setelah mengecapi keamanan dan kemakmuran, kini menjadi kewajipan kepada penduduk Aceh untuk membantu saudara se-Islam yang menerima musibah.

Ketika ditanya tentang perancangan jangka panjang untuk membantu para pelarian Acheh di daerah itu, Mahkyaruddin berkata, beliau telah berbincang dengan Walikota Langsa untuk mencari penempatan yang sesuai bagi mereka.

"Yang jelas mereka tidak akan pulang ke kampung halaman mereka. Oleh itu mereka pastinya akan menetap di sini," katanya.

Oleh itu beliau mencadangkan agar setiap keluarga pelarian Rohingya diberikan dua hektar tanah bagi diusahakan.

Beliau menambah, lokasi penempatan yang dipilih mestilah layak dihuni dengan keperluan asas yang mencukupi.

"Mereka yang sudah berumahtangga akan diberikan rumah. Bagi yang tidak berkeluarga akan diberikan rumah yang boleh dihuni 10 orang," katanya.

Bagaimanapun rancangan ini, ujarnya tertakluk kepada persetujuan Jakarta.

Mahkyaruddin menambah, pelarian Rohingya yang berhasrat menjadi warganegara Indonesia perlu mengikuti proses yang ditentukan undang-undang.

"Tidak rugi jika mereka menjadi warga Indonesia apatah lagi mereka saudara muslim kita," ujar beliau. - HARAKAHDAILY, 25/5/2015

 Dr Syed Azman meninjau operasi khemah rawatan dan kecemasan yang didirikan badan bukan kerajaan (NGO) Aceh di kem pelarian Rohingya dekat  Langsa, Lhokseumawe, Aceh.

Share on Myspace