3 ikon PAS bakal dipecat sengaja diada-adakan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyifatkan laporan media kononnya tiga ahli parti bakal dipecat adalah isu yang sengaja diada-adakan menjelang muktamar.

"Ini adalah isu yang sengaja diada-adakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Menjelang Muktamar Tahunan PAS, macam-macam benda seperti ini," ujarnya kepada Harakahdaily.

Jelasnya, beliau tidak menerima sebarang makumat atau aduan berkait dengan isu tersebut.

"Kepada PAS, kita tiada masalah, boleh beri pandangan. Memberi pandangan secara jujur dan membina adalah perkara biasa dalam PAS.

"Kepada PAS, pandangan kebaikan kepada parti bukan kesalahan. Tak ada sebab benda-benda seperti itu diambil tindakan.

"Saya suka mengingatkan kepada semua pihak supaya jangan membuat kenyataan yang tidak betul dan tidak tepat mengenai PAS," ujarnya lagi.

Beliau menyatakan demikian ekoran laporan sebuah akhbar mengenai tiga ikon PAS yang sering menghiasi pentas ceramah parti itu kini berada dalam dilema, gara-gara didakwa mengkritik pimpinan parti itu sehingga menjadi viral di laman sosial.

Menurut laporan itu, Ahli Jawatankuasa Lajnah Politik Pemuda PAS Pusat, Sulaiman Ibrahim atau lebih dikenali Leman Raja Lawak; Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Pusat, Wan Aishah Wan Ariffin serta Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Sungai Petani, Mejar Zaidi Ahmad didakwa mengkritik beberapa pemimpin parti melalui aplikasi WhatsApp berhubung kepimpinan dalam PAS. - HARAKAHDAILY 25/5/2015

Share on Myspace