Usah percaya fitnah UG, perkukuh Pakatan

| .

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar memberi jaminan tidak ada pihak dalam parti itu berusaha membawa PAS ke dalam Barisan Nasional (BN).

Beliau sebaliknya menyeru semua pihak agar tidak mudah mempercayai fitnah mengenai isu Unity Government (UG) yang tidak berkesudahan.

Bahkan katanya, Majlis Syura Ulamak turut membuat penafian bahawa Majlis Syura Ulamak dan ahlinya berusaha untuk membentuk Kerajaan Perpaduan PAS dengan Umno BN.

Katanya, sekiranya ada usaha tersebut beliau akan menjadi orang pertama yang menentang usaha bergabung dengan BN.

"Untuk kesekian kalinya, saya ingin menegaskan PAS konsisten dengan ketetapan bersama Pakatan Rakyat sepertimana yang telah diputuskan di dalam Muktamar PAS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata, mengenai usaha pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) di Kelantan, ia adalah hak demokrasi PAS yang diberikan amanah untuk mentadbir Kelantan sejak tahun 1990.

"Bukankah DAP sebagai parti yang mengaku pejuang demokrasi tulen, sepatutnya menghormati hak dan suara pihak lain yang secara sah mendapat mandat majoriti di Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Beliau menambah, pelaksanaan EKJS di Kelantan hanya akan dapat dilaksanakan apabila Parlimen memberi kelulusan.

"PAS tidak ada halangan sekiranya DAP mahupun Umno BN menolak Rang Undang-Undang Persendirian Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

"PAS akan akur dengan dengan apa jua keputusan yang dibuat di Parlimen sama ada menerima mahupun menolak cadangan pindaan akta tersebut," katanya.

Justeru beliau menyeru semua pihak dalam Pakatan Rakyat agar berjiwa besar dan optimis dalam mempertahankan kerjasama.

"Usahlah terlalu bersifat negatif dan pesimis kerana ia hanya akan mengeruhkan lagi hubungan yang kian longgar ini. Pada saat Umno BN sedang mengalami krisis kepercayaan rakyat, sewajarnya Pakatan Rakyat memperkukuh dan mempertahankan kerjasama yang telah dibina selama ini," katanya. - HARAKAHDAILY 25/5/2015

Share on Myspace