Tidak bantu mangsa banjir Pasir Tumbuh tidak berasas

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Dakwaan kerajaan negeri tidak membantu mangsa-mangsa banjir di Kampung Pasir Tumbuh tidak berasas, kata Penyelia Dun Nenggiri, Syed Azhar Syed Alwi.

Katanya lebih 10 rumah musnah sama sekali di kampung tersebut ketika bah besar melanda akhir Disember lepas.

“Sebaik sahaja banjir besar surut Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, Setiausaha Kerajaan Negeri dan anggota-anggota Exco datang menghulur bantuan.

“Rombongan kerajaan negeri turut membawa peralatan dapur dan makanan. Mereka mengharungi lumpur tebal dan menemui mangsa-mangsa banjir yang berlindung di sebuah sekolah di atas bukit,” katanya di sini.

Lawatan pada 8 Januari itu turut meninjau dari dekat jambatan kereta api yang putus dua di Kemubu, pekan Dabong, Bertam Lama, Bertam Baru dan Pasir Tumbuh.

Syed Azhar yang juga pemimpin PKR Gua Musang berkata kerajaan negeri menghantar bantuan segera melalui Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang ketika banjir melanda.

Malah sebelum banjir memuncak penghulu Kampung Pasir Tumbuh bertungkus lumus memindahkan penduduk menggunakan perahu ke pusat pemindahan di Bertam Baru.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke dilaporkan berkata 22 rumah di Kampung Pasir Tumboh akan diserahkan kepada pemilik pada 11 Jun ini.

Menurutnya pembinaan rumah itu disiapkan melalui projek Impian Kelantan. Bagaimanapun beliau kesal kerajaan persekutuan dan negeri gagal membantu mangsa banjir.

Ketika bah besar melanda Kelantan pada akhir Disember lepas sebanyak 1,824 rumah penduduk rosak sama sekali di Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah, Machang dan Tumpat.

Dan sehingga sekarang kerajaan negeri sudah menyiapkan 60 rumah kekal dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat korporat, manakala 7 lagi disiapkan kerajaan pusat.

Syed Azhar berkata beliau tidak memberi tumpuan membina rumah di Pasir Tumbuh memandangkan Impian Kelantan yang disertai DAP dan NGO Cakna UT sudah melaksanakan usaha tersebut.

“Kami pula memberi tumpuan membaiki rumah yang rosak dengan membekalkan bahan binaan termasuk zink, papan dan peralatan lain.

“Saya merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada DAP dan Cakna UT yang bertungkus lumus membina semula rumah mangsa banjir yang rosak teruk di Pasir Tumbuh,” katanya. - HARAKAHDAILY 25/5/2015

Share on Myspace