Felda akui peneroka keliru potongan 20%

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

JERANTUT: Pengakuan Pengurus Besar Wilayah Jengka Datuk Shaari Din dalam pertemuan dengan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini membuktikan terdapat kekeliruan berkaitan arahan pomotongan 20 peratus kepada hasil jualan sawit peneroka.

Sebelum ini, timbul kontroversi dan keresahan di kalangan peneroka apabila menerima surat pekeliling yang dikeluarkan pengurus-pengurus rancangan yang akan menguatkuasakan wang tahanan 20 peratus mulai 1 Jun ini.

Presiden Anak Mazlan Aliman berkata, dalam perbincangan dengan Shaari, beliau menjelaskan potongan tersebut bertujuan memudahkan Felda menolak hutang peneroka seperti kos tanam semula, pinjaman rumah dan lain lain.

“Namun beliau mengakui status peneroka yang berbeza-beza iaitu ada peneroka yang mengusahakan ladang sendiri dan ada yang diserahkan kepada Felda.

“Ada peneroka yang tiada langsung hutang dengan Felda kerana mereka urus kebun secara persendirian dari awal. Potongan sekitar RM50 ke RM100 boleh dikenakan kerana merangkumi bayaran JKKK, khairat, jalan pertanian dan insurans ladang.

“Ada peneroka yang asalnya serah kepada Felda, kemudiannya mengambil semula pengurusan ladang dan mereka ada baki kos tanam semula serta pinjaman perumahan,” katanya.

Terdahulu satu memorandum bantahan daripada peneroka turut diserahkan di pejabat Felda Wilayah Jengka di sini.

Turut hadir Naib Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden Anak Aris Fezul Ismail, Pengerusi Anak Pahang Yohanis Ahmad serta kira-kira 200 warga Felda.

Mazlan berkata, Shaari memberitahu akan mengadakan pertemuan dengan pengurus-pengurus Felda petang ini bagi menyelaraskan tindakan dan menjelaskan kekeliruan berikutan isu berkenaan.

“Anak akan mengambil inisiatif untuk menyenaraikan nama-nama peneroka mengikut kategori dan akan serah semula kepada Pengurus Felda di tempat masing masing dalam masa terdekat.

“Jangan main borong semua peneroka dikenakan tahanan 20 peratus,” katanya.

Mazlan berkata beliau agak terkilan dengan persepsi negatif yang menganggap kehadiran beliau mencampuri urusan Felda dan kononnya ada kepentingan politik.

“Sepatutnya pengurusan Felda ucap terima kasih kepada NGO Anak kerana kita menjadi orang tengah untuk selesaikan masalah. Jika tidak, macam macam boleh berlaku sehingga nama baik Felda terus tercalar sampai bila-bila. Kita bukan musuh tetapi ingin membantu dan menjalinkan kerjasama,” tegasnya.

Tambahnya, sepatutnya sesuatu peraturan dibuat dengan teliti dengan berbincang terlebih dahulu dan pengurus Felda jangan ego dengan arahan daripada ibu pejabat Felda.

Tegasnya, apabila arahan dimuktamadkan tanpa mengambil kira hujah peneroka, rasa tidak puashati pasti berlaku dan tidak sepatutnya menjadikan Felda 30 tahun ke belakang di mana peneroka mesti menjadi pak turut semata-mata. - HARAKAHDAILY 25/5/2015

Share on Myspace