Bauksit: 43,278 buah lori diperiksa 1,134 disita

BERNAMA | .

KUANTAN: Sebanyak 43,278 lori yang membawa muatan bauksit telah diperiksa dalam tempoh 2 April hingga 23 Mei lepas dalam operasi bersepadu secara berperingkat oleh kerajaan negeri Pahang bagi memastikan para pengusaha dan kontraktor lombong bauksit mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 1,134 buah lori disita manakala jumlah kutipan kompaun terhadap mereka yang melanggar peraturan adalah sebanyak RM2.1 juta.

Katanya kerajaan negeri telah melakukan pelbagai inisiatif bagi menyelesaikan masalah yang dibangkitkan oleh orang awam terutama isu pencemaran alam sekitar yang disebabkan oleh debu bauksit daripada lori-lori yang melalui jalan raya di sekitar bandar ini.

"Kita telah mengambil pelbagai cara bagi menyelesaikan masalah ini dan antaranya mengarahkan semua agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Alam Sekitar menjalankan penguatkuasaan siang dan malam terhadap lori-lori yang membawa bauksit ini.

"Mana-mana lori yang didapati gagal mematuhi arahan yang kita tetapkan sebelum ini, kita arahkan kepada JPJ agar jangan perbaharui lesen mereka selagi mereka tidak membayar kompaun yang dikenakan," katanyademikian menjawab isu yang dibangkitkan oleh Andansura Rabu (PAS-Beserah) semasa membahaskan titah pembukaan sidang dewan oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, di persidangan dewan undangan negeri di sini hari ini.

Andansura ketika membangkitkan isu itu berkata kerajaan negeri perlu mencari kaedah terbaik bagi mengatasi masalah debu kotor yang berpunca dari lori-lori yang mengangkut muatan bauksit sehingga menyebabkan pencemaran di jalan raya dan berlarutan sehingga ke sungai dan laut di bandar ini.

Sebelum ini kerajaan negeri hanya membenarkan lori-lori yang membawa muatan bauksit melalui jalan Bypass-Gebeng sahaja untuk ke Pelabuhan bagi mengurangkan masalah pencemaran debu bauksit di atas jalan raya.

Mengulas lanjut Adnan berkata satu peraturan baharu juga bakal dikenakan kepada pengusaha lombong bauksit yang mengangkut mineral berkenaan daripada tanah milik persendirian bagi memastikan pencemaran debu bauksit tidak terus berleluasa.

"Kita akan minta mereka bayar deposit sebanyak RM300,000 dan jika didapati mereka melanggar peraturan yang telah kita tetapkan, duit deposit itu kita akan ambil, mungkin ini kita boleh buat (bagi menyelesaikan masalah bauksit)," katanya. - Bernama

Share on Myspace