Pemuda PAS desak Guan Eng guna kebijaksanaan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Anak muda Malaysia memerhati dengan penuh minat pengurusan konflik dalam politik di negara ini, ujar Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat.

Menurutnya, mereka adalah penentu kepada masa depan politik khususnya dalam Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Katanya, Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN), kedua-duanya menghadapi masalah yang hampir sama iaitu menguruskan konflik yang timbul tanpa mengakis kepercayaan rakyat khususnya anak muda.

Tambahnya, PR yang telah memperolehi sokongan 51% dalam PRU13, perlu segera menguruskan konflik yang timbul dengan cermat dan bijaksana.  

Menurutnya, jika salah isyarat yang diberikan, maka anak muda Malaysia akan menghukum PR dalam pilihanraya akan datang.

Terkini, ujar beliau Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah menuduh Presiden PAS condong kepada Umno.

"Tuduhan ini telah memberi gambaran buruk kepada anak muda Malaysia," ujarnya.

"Bagaimana dua pemimpin yang duduk sepentas dalam PRU13 yang lalu dan duduk sebaris dalam Parlimen boleh bertembung antara satu sama lain.

"Apakah sudah tiada jalan yang bijaksana mengurus masalah yang berlaku?" tenya beliau.  

Katanya lagi, jika konflik itu berteruskan, maka anak muda Malaysia akan beranggapan pemimpin-pemimpin PR adalah hipokrit, lebih malang lagi menganggap tiada beza dengan Barisan Nasional yang jelas penuh dengan pelbagai masalah

Justeru, ujarnya pemimpin PR wajar memahami setiap pemimpin ada pendukung dan penyokongnya.

"Kami pemuda PAS membesar bersama tarbiyah daripada Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Kami adalah pendukung Presiden PAS.

"Walau Presiden tidak maksum, tapi kami tidak dapat menerima tuduhan-tuduhan liar Setiausaha DAP kepada batang tubuh Presiden kami.

"Jikapun ada kelemahan pada Presiden PAS, adalah tidak bijaksana menuduh Presiden kami condong kepada musuh PR iaitu Umno," tegasnya.

Menurutnya, masih banyak lagi saluran yang boleh digunakan untuk menyelesaikan konflik yang sedang berlaku.

Katanya lagi, kenyataan Setiusaha Agung DAP akan mengundang tindak balas daripada daripada semua pihak dalam PAS khususnya sayap parti iaitu Dewan-Dewan Ulamak, Muslimat dan Pemuda, daripada peringkat pusat, negeri, kawasan sehinggalah kepada cawangan akan marah dengan kenyataan tersebut.

Tegasnya, mereka ada hak untuk berasa marah dan menzahirkan kemarahan dengan kenyataan yang seumpama ini.

"Kemungkinan akan ada pihak yang bertindak luar kawalan. Ini akan menyebabkan Pemuda DAPSY pula akan bertindak balas," ujarnya.

Maka, katanya berlakulah pertembungan yang bertali arus dan akan mengurangkan keyakinan rakyat kepada PR.

"Sebagai Ketua Pemuda Malaysia, saya mewakili Pemuda PAS mendesak kepada Setiausaha Agung DAP dan pimpinan PR agar menggunakan kebijaksanaan masing-masing untuk menguruskan konflik yang berlaku," kata beliau lagi.

Justeru, ujar Suhaizan jangan hancurkan harapan rakyat khususnya anak muda yang mahu melihat Malaysia yang lebih unggul dan sejahtera di bawah PR dalam PRU14. - HARAKAHDAILY 26/5/2015

Share on Myspace