Jumpa kubur: Malaysia panas pemerdagangan manusia

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Penemuan 139 kubur dan 28 kem di Wang Kelian, Perlis menguatkan lagi dakwaan masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia adalah antara tempat panas yang menjadi salah satu negara tertinggi dalam rekod aktiviti pemerdagangan manusia.

Sebelum ini menurut US State Department's Trafficking In Person (TIP) report 2014, Malaysia telah jatuh ke tangga Tier ke-3 iaitu di bawah kategori sebuah negara yang gagal untuk memenuhi kewajipan antarabangsa yang asasi untuk menghalang aktiviti pemerdagangan manusia dan menyelamatkan mangsa-mangsa aktiviti haram ini.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abd Manan menyatakan demikian merujuk penemuan kubur dan kem itu yang dipercayai digunakan sebagai aktiviti pemerdagangan manusia dipercayai etnik Rohingya di sempadan Malaysia-Thailand.

Berdasarkan maklumat terkini, kem-kem tersebut yang telah wujud semenjak tahun 2013 iaitu kira-kira dua tahun lalu.

"Dalam keadaan di mana keprihatinan serta kemarahan rakyat Malaysia terhadap tragedi kemanusiaan ke atas umat Islam Rohingya yang masih belum reda, Abim melahirkan keraguan sejauh mana keseriusan kerajaan Malaysia yang juga sebagai Pengerusi Asean bertindak untuk menyelesaikan masalah ini secara tuntas," ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, katanya Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat perlu bertanggungjawab untuk membanteras gejala (pemerdagangan) yang keji itu.

"Penemuan kem-kem serta kubur ini merupakan satu tragedi kemanusiaan yang melangkaui kepentingan keselamatan serta geo-strategik di negara ini," katanya lagi.

Atas dasar kemanusiaan, kata beliau Abim serta seluruh rakyat Malaysia menggesa satu siasatan terperinci dan telus diadakan untuk kes ini.

Justeru, ujar beliau pihak berkuasa yang berkenaan perlu menjawab persoalan bagaimana sebuah kem lengkap yang dipenuhi pendatang asing (dibawa oleh pihak sindiket) boleh wujud di Malaysia.

"Berapa ramaikah pendatang (atau pelarian) yang telah kehilangan nyawa di hadapan mata kita?" tanya beliau.

Beliau berkata, sekiranya siasatan mendalam serta telus diadakan, tidak mustahil kemungkinan besar banyak kem-kem serupa di sempadan Malaysia-Thailand yang wujud di luar pengetahuan kita.

Baginya, bukanlah suatu perkara yang mengejutkan seandainya lebih ramai nyawa yang telah terkorban. - HARAKAHDAILY 26/5/2015

Share on Myspace