Henti pembalakan Hutan Simpan Kuala Krau - SAM

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Pahang mengambil tindakan menghentikan segera kegiatan pembalakan berhampiran Hutan Simpan Kuala Krau dekat Temerloh kerana ia menjejaskan alam sekitar dan kehidupan 200 Orang Asli Kampung Terbol.

"Selain mencemarkan sumber bekalan air kegunaan harian masyarakat tersebut kegiatan ini juga boleh mengganggu ekosistem dan kawasan hutan yang menjadi tempat mereka mencari rezeki," Presiden SAM, SM Mohamed Idris dalam satu kenyataan.

Pada masa yang sama, katanya paip air yang dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan sejak 15 tahun lalu untuk menyalurkan air bersih untuk minuman penduduk kampung berkenaan juga tidak lagi berfungsi dengan baik sejak kegiatan pembalakan itu bermula.

Menurutnya, aduan serta bantahan melalui surat telah dibuat oleh Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Terbol kepada pihak berwajib tentang masalah intu tetapi hingga kini tidak ada maklum balas dari pihak berkenaan.

Katanya, penduduk-penduduk juga telah mengadakan protes secara aman menuntut supaya aktiviti pembalakan di situ dihentikan.

Mengulas laporan sebuah akhbar tempatan 15 Mei lalu mengenai masalah itu, ujarnya SAM meminta Jabatan Perhutanan Pahang, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kesihatan dan Pejabat Daerah Temerloh memberi perhatian serius dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah tersebut.

Tambahnya, SAM kesal walaupun kegiatan pembalakan di sini jelas terbukti menjejaskan alam sekitar dan kehidupan masyarakat Orang Asli di kawasan itu namun ia masih dibiarkan berlarutan tanpa sebarang tindakan diambil.

"SAM percaya keadaan ini akan menjadi lebih buruk jika sumber pendapatan dan keperluan asas seperti minuman dan makanan bagi penduduk-penduduk di situ terancam dengan serius pada masa akan datang," ujarnya lagi.

Malah, katanya banjir kilat juga boleh melanda kampung itu jika masalah hakisan dan mendapan tanah turut berlaku akibat aktiviti pembalakan tersebut.

"Jika ini terjadi harta benda dan tanaman penduduk-penduduk di situ akan musnah. Justeru itu SAM menyokong desakan penduduk-penduduk yang terlibat supaya kegiatan pembalakan di situ dihentikan segera," katanya. - HARAKAHDAILY 26/5/2015

Share on Myspace