Banjir: 251 rumah kekal hampir siap dibina

| .

 

KOTA BHARU: Igauan tsunami Sungai Lebir akhir Disember lalu masih sukar dilupakan.

Kini ia hampir lima bulan berlalu. Malangnya masih ramai mangsa banjir berbumbung khemah.

Ada yang juga berlindung di bawah bangsal buruk. Apa yang pasti Aidilfitri ini sebahagian mereka masih di situ. Hari Raya bagi mereka seperti tidak memberi banyak makna.

Sejak bah besar surut penghujung 2014 hanya tujuh rumah kekal di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) disiapkan di Kelantan.

Sedangkan kerajaan menjelaskan telah membelanja kira-kira RM800 juta melalui MKN membantu mangsa di negeri-negeri yang terlibat.

Ia diakui Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan. Menurutnya Januari lalu peruntukan itu untuk pembekalan makanan, operasi logistik dan pembersihan rumah-rumah mangsa banjir.

Peruntukan sebesar itu belum lagi diambil kira kos membina 1,824 rumah mangsa banjir di Kelantan.

Dan daripada jumlah tersebut hanya 513 mangsa banjir di negeri terbabit memiliki geran hak milik tanah. Dan selebihnya tanpa dokumen atau tinggal di tanah rezab sungai dan Kereta Api Tanah Melayu Bhd (KTMB).

Sedangkan sebelum ini kerajaan pusat dan pemimpin Umno sering meratibkan masalah tanah menjadi punca kelewatan membina rumah kekal.

Tujuh rumah yang disiapkan dalam tempoh lima bulan daripada 513 penduduk yang ada geran tanah, memperlihatkan ada masalah lain.

Kerajaan Pusat juga sebelum ini mengumumkan dua model rumah setingkat bernilai RM48,000 seunit dibina untuk mangsa banjir.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata rumah berkeluasan 660 kaki persegi itu menggunakan kaedah binaan terus di atas tanah dengan tiang setinggi lapan kaki.

Rumah terbabit akan mengandungi tiga bilik tidur, ruang makan, ruang tamu, satu tandas dan satu bilik mandi.

Bagaimanapun difahamkan tidak ramai kontraktor yang berminat. Mereka tidak mahu menampung kos pembinaan, lebih-lebih lagi era GST sekarang.

Ekoran itu difahamkan kerajaan pusat bersetuju menaikkan kos pembinaan kepada RM62,000.

Difahamkan sebahagian kontraktor yang mendapat kontrak membina rumah di bawah MKN mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Umno.

Biar pun kos pembinaan rumah lebih tinggi daripada ditetapkan kerajaan negeri, namun masih ada rumah kekal dibina tiba-tiba runtuh.

Kejadian yang berlaku di Kampung Bedal, Kuala Krai baru-baru ini begitu memalukan. Adun Mengkebang, Abdul Latif Abdul Rahman berkata tidak sepatutnya tragedi itu berlaku ketika mangsa banjir masih lagi berlindung di bawah khemah.

“Saya difahamkan kira-kira RM30,000 hangus dalam sekelip mata ekoran kecuaian yang berlaku di Kampung Bedal,” katanya.

Kerajaan negeri hanya menyiapkan rumah kekal dalam linkungan RM43,000. Jumlah itu kurang RM20,000 berbanding peruntukan projek di bawah kerajaan pusat.

Namun spesifikasi tetap sama. Namun mengapa masih ada kontraktor yang masih sanggup membina. Ini kerana keuntungan berganda bukan perkiraan mereka.

Dengan kemampuan yang terhad, kerajaan negeri sudah menyiapkan 60 rumah kekal sehingga sekarang. Kos pembinaannya ditampung kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat korporat.

Peruntukan negeri melalui Tabung Amanah Bencana Negeri sudah menyiapkan dua rumah. Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) pula siapkan 10 unit dan selebihnya disiapkan NGO serta syarikat korporat.

Tabung Bencana Negeri juga sedang membina 70 buah, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (145), PKINK (6) dan kerajaan Selangor (30).

Ini bermakna 251 unit sedang dalam pembinaan sekarang dan 175 lagi peringkat pra pembinaan. Jumlah keseluruhan akan dibina kerajaan negeri sebanyak 600 unit. Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Bersama Banjir Kelantan.

Selain itu kerajaan negeri juga mewujudkan lima penempatan berkelompok baru bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir yang tiada tanah sendiri.

Antaranya di Kampung Telekong dan Kampung Baru Manek Urai di Kuala Krai; Tanah Putih dan Simpang Pulai di Gua Musang, Desa Rahmat di Machang dan Kampung Panjang di Tanah Merah.

Tapak-tapak tersebut sekarang sudah diratakan. Tapak itu meliputi kawasan seluas 360 hektar di Kuala Krai dan 100 hektar lagi di Gua Musang. - HARAKAHDAILY 26/5/2015

 

Share on Myspace