Terima kasih Tan Sri Zeti

| .

 

PAS mengucapkan terima kasih kepada Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz atas kejujurannya mengesahkan bahawa BNM telah menerima satu laporan mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) daripada Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS).

Jawapan TS Zeti membuktikan bahawa jawapan di parlimen berkenaan wang 1MDB yang dikatakan telah dibawa balik dari Cayman Islands dan disimpan dalam bank BSI Singapura bukan satu kesilapan.

Jika ia satu kesilapan, sudah tentu ia sudah dibetulkan sebelum BNM menerima laporan daripada MAS.

Meskipun TS Zeti tidak menyatakan bila laporan MAS diterima, akan tetapi PAS percaya pembetulan jawapan Kementerian Kewangan mengenai duit Cayman Islands 1MDB hanya dilakukan selepas BNM menerima laporan MAS.

Perkara ini juga membuktikan bangkai 1MDB susah ditutup lagi. 1MDB perlu menghadap PAC pada kadar segera tanpa sebarang alasan lagi. Masakan ada orang yang tidak bersalah melengah-lengahkan peluang untuk membersihkan namanya?

Oleh itu, kerajaan usahlah cuba untuk menyakinkan rakyat lagi bahawa duit Lembaga Tabung Haji, KWAP, KWSP dan kredit tunggu sedia RM1 bilion 1MDB adalah pelaburan yang berisiko kecil. Akuilah semuanya kini berisiko tinggi.

PAS menggesa agensi-agensi penguatkuasaan negara memberikan kerjasama sepenuhnya dengan Tan Sri Zeti dalam mempertahankan kewibawaan BNM dan sektor perbankan negara daripada dijangkiti masalah yang timbul daripada 1MDB meskipun ditekan. - HARAKAHDAILY 26/5/2015

Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden PAS
26 Mei 2015

Share on Myspace