Rohingya: Hantar tentera pengaman ke Myanmar

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Nasib sedang menimpa ke atas umat Islam Rohingya ketika ini adalah satu bentuk pembersihan etnik secara tersusun, termasuk didalangi oleh pihak-pihak yang mempunyai keupayaan dan kuasa.

Tindakan pengusiran, penganiayaan dan kezaliman serta pembunuhan adalah tekanan untuk menghapuskan umat Islam dari satu-satu penempatan atau wilayah.

"Perkara ini mengulangi tragedi buruk pernah ditimpakan ke atas umat Islam di Bosnia Herzegovina pada tahun 1992 yang menghadapi kerakusan etnik Serbia," kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Begitu juga, ujarnya umat Islam di Palestin berdepan pencerobohan dan peperangan zionis Israel sejak tahun 1948 tanpa ada pembelaan sewajarnya khususnya dari badan dunia.

Katanya, umat Islam di Rohingya bukan sahaja berdepan kegilaan puak Rakhine untuk bermandi darah, malah kecurangan Kerajaan Myanmar serta ketidakpedulian pihak tentera menyaksikan atau menghalang tindakan kezaliman dari berlaku.

"Sehingga ke saat ini, tidak ada badan dunia yang bersuara menyaksikan mala petaka dahsyat ke atas kemanusiaan ini," ujarnya dalam satu kenyataan.

Malah, kata beliau media Barat pula bersikap adu domba apabila memainkan isu ‘Human Traficking’ sebagai alasan dan desakan ke atas negara umat Islam Asean iaitu Malaysia dan Indonesia untuk menerima pelarian-pelarian Rohingya sedangkan negara Asean lain dibela kononnya tidak berupaya menerima pelarian tersebut khususnya Thailand.

Malangnya, kata Khalil Malaysia yang merupakan Pengerusi Asean juga tidak mengambil langkah proaktif untuk bersuara, apatah lagi untuk menyatakan tindakan konkrit penyelesaian.

"Malaysia mesti segera menggerakkan peranan lebih agresif mengetuai semua negara Asean untuk menyelamatkan umat Islam Rohingya atas tanggungjawab kemanusiaan," kataya lagi.

Menurutnya, Malaysia selaku anggota tidak tetap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan anggota Pertubuhan Islam Sedunia (OIC) juga perlu mendesak masyarakat antarabangsa khusunya badan-badan dunia tersebut untuk memberi tekanan kepada Kerajaan Myanmar supaya memberikan hak kepada umat Islam Rohingya dan menghentikan serta merta pencabulan hak ke atas mereka.

Beliau berkata, sekiranya Malaysia boleh menghantar kekuatan ketenteraannya berkhidmat sebagai pasukan pengaman di bawah PBB ke Somalia, Lubnan, Bosnia dan lain-lain negara yang jauh, sewajarnya atas maruah dan nyawa umat Islam, Malaysia perlu menawarkan diri ke Myanmar. - HARAKAHDAILY 26/5/2015

Share on Myspace