Marilah sama-sama kita hormati ulama - Mufti WP

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Sehari dua ini hati saya kurang selesa dan merasa hiba tatkala ulama dilihat dalam sudut pandang seolah-olah bertentangan antara satu sama lain," ujar Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Menulis menerusi facebook semalam, beliau menyatakan natijahnya terdapat pelbagai pecahan puak yang masing-masing memperakukan kebenaran serta menganggap yang lain daripadanya kurang tepat.

"Alangkah sedihnya hati ini dan hibanya bilamana tohmahan dan wasangka yang tidak baik ditujukan kepada mana-mana ulama yang sebenar," katanya.

Menurut beliau, mereka adalah warathatul anbiya'.

Sehubungan itu, beliau berkata ingatlah pesanan Ibn Asakir Rahimahullah mafhumnya: "Takutlah kamu kepada daging ulama' kerana ia beracun." [Lihat Tabyin Kazib al-Muftari, hlm. 29-30]

Tambah beliau lagi, tanpa dinafikan ulama bukan maksum tetapi mereka mempunyai banyak kemuliaan dan kelebihan di sisi Allah.

"Kita boleh menasihati ulama tatkala mereka terkhilaf dalam sesuatu pendapat dengan penuh hikmah dan adab.

"Marilah sama-sama kita menghormati ulama, mengasihi dan memuliakannya," ujar beliau lagi. - HARAKAHDAILY 27/5/2015

Share on Myspace